Tuesday, November 03, 2015

Tony Pua Tiada “T” Untuk Letak Jawatan Dalam PAC Dan Berdebat Dengan Arul Kanda

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa berkata, sekiranya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengutamakan perjuangannya dalam politik dan mempunyai bukti kukuh tentang salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), maka dia tidak perlu takut untuk letak jawatan sebagai anggota PAC dan seterusnya berdebat dengan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Namun sayangnya ujar Anuar, Tony diibaratkan tidak mempunyai ‘T’ untuk letak jawatan dan menyahut cabaran yang dibuat sendiri.

“1MDB adalah satu syarikat yang sedang disiasat oleh SPRM, PDRM dan PAC… Tidak ada satu carapun yang memungkinkan 1MDB untuk sorok apapun.. Syarikat ini telah ‘ditelanjangkan’ sepenuhnya malah 1MDB juga telah bersedia bersikap terbuka.
ArulKandaVsTonyPua
“Malah Perdana Menteri juga telah menegaskan sekiranya sebarang salah laku dapat dikesan semasa siasatan maka tindakan undang-undang akan diambil tidak kira siapapun.

“Maka tidak ada apapun yang perlu ditakutkan oleh pembangkang terutamanya Tony Pua. Sekiranya dia benar-benar mempunyai bukti maka letak la jawatan dalam PAC. Tapi pada saya orang yang paling layak untuk mengambil tanggungjawab berdebat ini adalah Ketua Pembangkang sendiri iaitu Wan Azizah,” ujarnya kepada pihak media.

Jelas beliau lagi jika pembangkang menggambarkan isu 1MDB adalah satu isu nasional yang besar dan berkaitan dengan kredibiliti kerajaan, maka Wan Azizah lah yang paling layak mengambil tanggungjawab untuk berdebat sekaligus membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar puppet dalam pembangkang.

Tambahnya, pendekatan dan kesediaan Arul untuk berdebat adalah satu sikap ‘gentleman’ dan inilah bukti ketelusan dan akauntibiliti yang tinggi cuba ditunjukkan.

“Namun begitu, sikap pendekatan terbuka yang kita tunjukkan ini bukan bererti kita semua betul… tidak semestinya. Sebab itu saya cakap tadi kalau dalam proses siasatan ada sebarang salahlaku ditemui maka tindakan undang-undang akan diambil.

“Cuma pembangkang tak dapat nak terima bila ada pertuduhan maka ada siasatan yang harus dijalankan. Mereka mahu bila dituduh terus dikenakan hukuman. Mereka lupa bila ada tuduhan, akan ada siasatan. Masalah sekarang ini merekalah yang menuduh, merekalah yang menghukum… Proses dan undang-undang mana mereka pakai…,” katanya lagi.

Baru-baru ini Tony telah mencabar Arul Kanda untuk berdebat namun dengan syarat hanya dia yang boleh menyoal dan Arul menjawab. Tanpa disangka-sangka Arul telah bersetuju dan isu ini mula menjadi buah mulut rakyat dan menjadi viral di media sosial.

Yang jelas sekarang ini nama 1MDB dan keberanian Arul Kanda menjadi bualan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka mula memandang tinggi dan mula berfikir tentu ada sebab Arul tidak gentar berhadapan dengan Tony di depan rakyat Malaysia.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment