Friday, February 12, 2016

Baling Mikrofon… Kekecewaan Mat Sabu Cara “Kebudak-Budakan” Yang Memualkan

KUALA LUMPUR : Tindakan  Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah), Mohamad Sabu yang melemparkan mikrofon ketika berucap pada Himpunan 365 #BebasAnwar di Penjara Sungai Buloh baru-baru ini disifatkan sebagai manifestasi kekecewaannya yang “kebudak-budakan”.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Hj Nawawi Hj Ahmad berkata kekecewaan yang ditonjolkan oleh bekas timbalan presiden Pas itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana sehingga ke hari ini kelahiran parti pimpinannya itu ternyata tidak mendapat sambutan secara menyeluruh.

Justeru katanya tidak peliklah dengan apa yang diluahkan oleh Mat Sabu itu namun sebagai pemimpin apatah lagi sebagai pimpinan utama beliau sepatutnya menunjukkan adab dan tatasusila yang sewajarnya kepada masyarakat umum khususnya kepada ahli parti beliau sendiri.
Mat Sabu Baling Mikrofon 
“Nak jadi pemimpin kena jaga adab…ada tatasusilanya. Mungkin kecewa setelah gagalnya Amanah dalam mendapat sokongan atau kegagalan dalam menimbulkan perasaan marah rakyat terhadap kerajaan.

“Beliau perlu ingat…rakyat berhak dalam membuat penilaian dan berhak dalam membuat keputusan. 
Jangan campur adukkan perjuangan dengan perbuatan-perbuatan yang tidak sopan. Sebab itu saya katakan beliau mengalami konflik dalam diri sendiri,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Nawawi seterusnya menambah tingkah laku dan drama yang dipertontonkan oleh Mohamad Sabu sewajarnya menjadi penilaian terbaik kepada masyarakat dan rakyat di seluruh negara.

Katanya keupayaan negara yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan seterusnya masih mendapat kepercayaan daripada rakyat tidak seharusnya diperkecilkan oleh beliau.

“Malah kelahiran Amanah itu sendiri yang perjuangannya di awang-awangan masih belum mendapat kepercayaan rakyat. Bagaimana rakyat mahu menaruh keyakinan kepada parti pimpinannya.

“Sebab itulah luahan kecewa beliau pada himpunan tersebut hanyalah sekadar untuk menarik tumpuan politik semata-mata.

“Sepatutnya beliau kena tunjukkan yang terbaik dan kena tunjukkan apa yang boleh dilakukan lebih baik daripada kerajaan yang ada hari ini. jangan hanya sekadar tunjuk baling mikrofon sebagai simbolik kepada perasaaan kecewanya. Itu sifat kebudak-budakan,” ujarnya.

Dilaporkan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengakhiri ceramahnya pada Himpunan 365 #BebasAnwar di Penjara Sungai Buloh dengan membaling mikrofon ke belakang pentas.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment