Sunday, February 14, 2016
Henti Sebar Khabar Angin Tabung Haji - Najib... Biasalah Manusia Dengki Yang Ramai
PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta
supaya penyebaran khabar angin mengenai Lembaga Tabung Haji dihentikan,
sambil menambah bahawa bakal jemaah mungkin kehilangan peluang mereka
untuk mengerjakan haji disebabkan perkara itu.
Beliau berkata, banyak berita dan khabar angin disebarkan berkaitan
Tabung Haji di laman web dan media sosial oleh golongan tidak
bertanggungjawab atas kepentingan politik dan peribadi semata-mata.
"Jika ada dalam kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan kenyataan
tidak tepat ini sehinggakan mengeluarkan simpanan mereka di dalam Tabung
Haji, ini amat mendukacitakan saya," kata Najib menerusi kenyataan di
blog pada Jumaat.
Najib menjelaskan bahawa pelabur-pelabur kini mengalami bukan sahaja
kerugian dari segi pulangan pelaburan dan simpanan malah dari segi
peluang untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah.
"Saya faham ada sesetengah pihak berniat mencatur langkah politik dengan
mempermainkan serta mencetuskan kebencian rakyat, namun saya nasihatkan
agar kesemua ini dihentikan," katanya.
Perdana Menteri berkata, masyarakat tidak seharusnya melupakan peranan
besar Tabung Haji dengan matlamat utamanya membolehkan rakyat Malaysia
menunaikan rukun Islam ke-5.
Beliau berkata, dana itu membantu mengurangkan kos mengerjakan Haji dan
kerajaan turut menggunakan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi untuk
memberikan kuota tambahan buat jemaah Malaysia.
"Bukankah teramat rugi dan sayang sekali, seandainya semua kerja keras,
hubungan baik, pengiktirafan serta kelebihan menunaikan ibadah yang kita
terima ini sia-sia akibat kenyataan tidak bertanggungjawab disebarkan
oleh ahli politik dan pengguna media sosial?
"Janganlah jadikan penyebaran berunsurkan politik jahat sebagai budaya kita.
"Janganlah sehinggakan ada kerugian seperti dalam hal ini yang nyaris
mengakibatkan umat Islam hilang pendapatan dan peluang menjalankan
tanggungjawab sebagai umat Islam," kata Najib.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment