Sunday, February 14, 2016
Kenyataan Sabotaj Rayani Air Bagi Jawab Spekulasi Umum
PETALING JAYA : Unsur sabotaj yang dikaitkan dengan isu keretakan cermin
kokpit pesawat Rayani Air timbul bagi menjawab spekulasi umum berhubung
siasatan bagi mengetahui motif kejadian itu, kata Pengarah Urusan
syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran.
Beliau berkata, siasatan yang dilakukan oleh pasukan kejuruteraan Rayani
Air berhubung insiden itu merangkumi semua faktor termasuk masalah
teknikal dan cuaca.
“Kenyataan mengenai kemungkinan wujud unsur sabotaj bukannya kenyataan
asal daripada Rayani Air tetapi ia bagi menjawab spekulasi orang ramai.
“Jadi, bila timbul spekulasi dan persoalan berkaitan sabotaj, maka kita
perlu siasat insiden berkenaan sama ada ia melibatkan tindakan sabotaj
atau tidak, seperti mana siasatan melibatkan masalah teknikal atau
cuaca. Bagaimanapun, kita telah sahkan dalam kes ini, tiada unsur
sabotaj,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong
Lai pada Jumaat bahawa Rayani Air tidak sepatutnya mengeluarkan
kenyataan bersifat spekulasi berhubung isu cermin kokpit pesawat yang
retak sehingga mengakibatkan pembatalan dua penerbangan dari Langkawi ke
Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Tiong Lai turut dilaporkan sebagai berkata, Jabatan Penerbangan Awam
(DCA) bagaimanapun masih belum menerima laporan siasatan awal berhubung
dakwaan berkenaan, namun menjangka ia dapat diselesaikan dalam tempoh
terdekat.
Mengulas lanjut, Ravi berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan
dengan DCA berhubung nasihat dan prosedur keselamatan susulan insiden
tersebut.
“Laporan siasatan akan dikemukakan kepada DCA dalam waktu terdekat,” ujarnya.
Pada Selasa, Rayani Air menerusi kenyataannya berkata, pembatalan
penerbangan bukan disebabkan masalah teknikal, tetapi kerana keretakan
cermin kokpit.
"Cermin kokpit ditemui retak selepas penerbangan malam tadi (Isnin
malam). Kita menyiasat insiden ini sama ada ia merupakan tindakan
sabotaj atau tidak,” kata syarikat penerbangan itu.
Bagaimanapun, Ravi pada Rabu lalu mengesahkan bahawa tiada unsur sabotaj berdasarkan hasil siasatan syarikat penerbangan itu.
Lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang
Antarabangsa Langkawi pada Selasa lalu selepas penerbangan mereka
dibatalkan, melibatkan dua penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur
pada pukul 11.10 pagi dan 6.20 petang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment