Tuesday, February 16, 2016

Idris Ahmad Hairan Apa Masalahnya Jika Dr Haron Din Dilantik Dalam MPI?

image
Bukan satu perkara baharu kepada Datuk Haron Din menyertai jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan, kata Idris Ahmad.

Naib Presiden Pas itu hairan kenapa timbul kekalutan apabila Mursyidul Am Pas itu menjadi Ketua Kluster Dakwah dalami Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Adakah beliau (Haron) dijemput atas surat Setiausaha Agung UMNO? Bukan perkara baru beliau menganggotai jawatankuasa kerajaan. Walaupun menjadi calon Pas dan Ahli Majlis Syura beliau (Haron) pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu penghinaan, sedangkan yang menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah mufti?” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mendakwa pelantikan Haron dianggap salah daripada segi protokol di dalam parti baru-baru ini.

Apa pun, menurut Idris, walaupun Haron seorang pemimpin Pas tetapi beliau lebih dilihat seorang ilmuan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan.

“Beliau seorang yang cukup dihormati juga di kalangan istana. Ramai tokoh-tokoh korporat rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang. Mungkin ini pendekatan beliau dalam berdakwah, yang pemimpin Pas lain tidak boleh lakukan,” katanya lagi.

Idris juga menyentuh isu yang timbul apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima kritikan kerana hadir semasa Multaqa Alumni Mahasiswa Timur Tengah sebelum ini.

“Apakah salah tuan guru (Abdul Hadi) bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek. Dituduh pula sudah bersama UMNO kerana baju sedondon,” ujarnya.

Ia juga bukti Pas tidak ada kena mengena dengan pengganas Islamic State (IS) seperti didakwa kerana sekiranya IS, kerajaan tidak akan berbuat demikian.

Lagi pun, katanya, Pas mengambil pendekatan muwajahah silmiah untuk menggunakan pelbagai platfom untuk menarik sokongan.

“Mana-mana ahli Pas yang berada di mana-mana posisi kena berperanan, syaratnya jangan masuk UMNO,” tegasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment