Sunday, February 14, 2016
Kehadiran Kapal Pengawal China Di Luar Kawasan Perairan Sarawak Berada Dalam Kawalan - Hishammuddin
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kehadiran
kapal pengawal pantai China di luar kawasan perairan Gugusan Beting
Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, berada dalam
kawalan.
Beliau yakin komunikasi terus antara pihak Kedutaan China di Malaysia
dengan kepimpinan negeri Sarawak akan dapat membantu dalam mengukuhkan
keyakinan rakyat Sarawak yang bimbang dengan kehadiran kapal itu.
Dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dua
hari lepas, Hishammuddin berkata beliau telah memaklumkan akan cuba
mendapatkan Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang untuk
mengunjungi Ketua Menteri tidak lama lagi.
Katanya beliau telah mengarahkan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk
Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk menghubungi kedutaan
China bagi mengatur perjumpaan itu.
"Malah esok di Sembrong (Johor) saya akan bersama dengan Duta Dr Huang
untuk meraikan Tahun Baharu Cina, jadi saya boleh sampaikan pesanan
nanti..., jadi jangan bimbang, keadaan berada dalam kawalan," katanya
dalam sidang media selepas melawat Makam Pahlawan di Kuching, Sabtu.
Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata demikian semasa
ditanya mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan
berkenaan yang dikesan sejak dua tahun lepas, yang mengakibatkan nelayan
laut dalam tempatan takut mendekatinya.
Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim
dilaporkan berkata Malaysia akan meneruskan mengemukakan bantahan
diplomatik terhadap pencerobohan kapal pengawal pantai China itu.
Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia bernasib baik kerana negara
bukan sahaja memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan kuasa besar
seperti Amerika Syarikat dan China, tapi juga dari segi hubungan
'diplomasi ketenteraan'.
Beliau berkata menerusi kelebihan ini, ia diharap akan dapat membantu
dalam mencari penyelesaian yang baik ketika berhadapan apa jua persoalan
yang timbul, kerana menurutnya isu berkaitan geopolitik Laut China
Selatan cukup kompleks dan tidak mudah untuk ditangani, apa lagi apabila
ia berkaitan dengan kuasa besar.
Hishammuddin kemudiannya beredar ke Hospital Umum Sarawak untuk
menziarahi Kolonel (Bersara) Dunstan Nyaring anak Angking, 72, yang
merupakan anak pribumi Sarawak yang pertama berpangkat Kolonel sekitar
1980-an, yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan kuman di kakinya.
Beliau kemudiannya dijadualkan melawat rumah di bawah skim 1Malaysia
Veteran Home Repair (1MVRP) di Kampung Sikog, Padawam, kira-kira 20km
dari sini dan bertemu dengan veteran tentera, sebelum menamatkan lawatan
kerja tiga hari beliau ke Sarawak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment