Sunday, February 14, 2016

Kementerian Tidak Patuh Langkah Penjimatan Bajet 2016, Peruntukan Akan Dikurangkan Tahun Depan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.459464.1449463815!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg
IPOH : Mana-mana kementerian yang tidak mematuhi langkah penjimatan selaras dengan pengubahsuaian Bajet 2016, peruntukan mereka akan dikurangkan pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata semua kementerian telah dimaklumkan bahawa pengubahsuaian bajet itu melibatkan perbelanjaan mengurus dan pihaknya akan memantau rapi pematuhan terhadap pemotongan tersebut.
Katanya pengubahsuaian bajet yang melibatkan kesemua kementerian itu membabitkan pengurangan sebanyak RM4 bilion bagi perbelanjaan pengurusan dan RM5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Kita telah memberitahu semua kementerian, pemotongannya bukan sahaja dari segi pengurangan kos pengangkutan dalam negara atau luar negara, kita juga melihat dari segi penyelenggaraan bangunan, perbekalan alat-alatan, semua dikurangkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Limau Tambun di Pusat Komuniti Desa Tambun di sini.

Pengubahsuaian Bajet 2016 telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu dengan mengambil kira senario ekonomi semasa untuk lebih realistik dalam keadaan yang mencabar tahun ini.

Ahmad Husni berkata selain memantau pematuhan terhadap pengubahsuaian bajet itu, pihaknya juga memandang serius terhadap setiap Laporan Ketua Audit Negara yang menjadi antara fokus pengurusan belanjawan.

“Saya mempengerusikan sendiri Jawatankuasa Integriti dan saya juga telah mengarahkan apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara mesti menjadi keutamaan dan ambil tindakan kerana kita tidak mahu lagi dengar (kelemahan berulang) pada masa depan,” katanya.

Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata rakyat perlu bersatu padu dan bekerjasama membantu kerajaan dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang amat mencabar hari ini.

“Selain pengorbanan sektor awam, amat penting untuk setiap kaum bersatu padu, kita perlu harmoni, Melayu, Cina dan India, Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu bersama-sama, jangan bersikap perkauman (kerana) ia tidak membawa sebarang kebaikan,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment