Tuesday, February 16, 2016
Malaysia Tidak Terlibat Misi Arab Saudi
KUALA LUMPUR : Kementerian Pertahanan akan mendapatkan pengesahan
lanjut daripada Angkatan Tentera Malaysia berhubung laporan pembabitan
anggota tentera Malaysia dalam misi ketenteraan di Arab Saudi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
Malaysia menyokong usaha membanteras keganasan dari segi fahaman dan
ideologi, namun bukan dari sudut ketenteraan.
“Dari segi ketenteraan saya telah nyatakan dari dulu lagi bahawa kita memang tidak terbabit,” katanya.
Beliau mengulas laporan agensi berita Arab Saudi, SPA, mengenai
Malaysia turut bersama kira-kira 20 negara lain dalam misi ketenteraan
besar-besaran yang disifatkan ‘terpenting’.
“Latihan ketenteraan saja tidak bermakna kita terlibat secara
langsung dalam konteks operasi dan itu memang saya tidak benarkan
pun…cuma apa yang dilaporkan hari ini, saya tidak tengok sejauh mana
pembabitan dalam latihan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Piala Menteri
Pertahanan kepada juara Pertandingan Debat Keamanan Antara Institusi
Pengajian Tinggi (IPT) 2016 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(UPNM), Kem Perdana Sungai Besi di sini malam ini.
Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara, menewaskan
pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A di tempat kedua,
diikuti UIAM B di tempat ketiga, dan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) di tempat keempat.
UiTM yang diwakili Mohamad Johan Mat dan Muhammad Haziq Jamaluddin,
pelajar ijazah undang-undang, membawa pulang wang tunai RM3,000, piala
utama dan sijil penghargaan.
Turut hadir Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment