
Sunday, February 14, 2016
MARA Tambah Baik Skim Pembiayaan Pelajaran

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menambah baik
skim pembiayaan pelajaran baharu yang diperkenalkan tahun lepas dalam
usaha memanfaatkan lebih ramai pelajar bumiputera yang berpeluang
melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, antara usaha berkenaan
ialah mengkaji semula beberapa peraturan skim berkenaan seperti dari
segi kadar faedah dan tempoh pembayaran balik pinjaman.
Katanya, kertas kerja mengenai cadangan tersebut telah dikemukakan
kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk dibentangkan
ke Kabinet dalam masa terdekat.
“Kita mahu lakukan perubahan tertentu antaranya seperti tempoh
pembayaran semula kerana melibatkan bank tertentu. Jika terlalu pendek
seperti tempoh 10 tahun dan jumlah pinjaman banyak tentu membebankan
pelajar itu.
“Ia perlu diubah suai agar menarik lebih ramai pelajar memohonnya.
Kertas kerja ini sudah kita bawa ke kementerian untuk dikemukakan ke
Kabinet,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan pertemuan dengan
Jawatankuasa Penerangan UMNO Kedah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Tahun lepas, agensi berkenaan memperkenalkan tiga skim pembiayaan
pelajaran baharu bagi membantu pelajar bumiputera melanjutkan pengajian
ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara melalui Program
Pelajar Cemerlang, Program Sarjana Muda Tempatan serta Program Lepasan
Ijazah dan Profesional bagi memenuhi keperluan semasa.
Program Pelajar Cemerlang dan Program Sarjana Muda Tempatan adalah
lanjutan daripada program sedia ada manakala Program Lepasan Ijazah dan
Profesional pula ditawarkan dengan kerjasama Bank Rakyat dan Maybank.
Annuar menambah, pinjaman tersebut juga bersifat boleh ubah daripada
pinjaman kepada tajaan bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang
pada akhir pengajiannya.
Mengenai dakwaan pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang
dikatakan berhenti belajar disebabkan masalah kewangan, Annuar berkata,
pelajar terbabit perlu tampil ke UniKL untuk menyambung kembali
pengajian mereka.
“Saya sudah beri arahan kepada UniKL untuk beri kelulusan automatik
pinjaman kepada pelajar terbabit. Tak perlu berhenti belajar disebabkan
faktor kemiskinan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mara akan membayar wang
tajaan kepada 11,186 pelajar UniKL bagi kemasukan Julai dan September
2015 sebelum akhir bulan ini.
“Saya tidak nafikan walaupun ada masalah, namun kita akan terus berikhtiar untuk membantu pelajar kita,” katanya.
Ketika ini Mara menaja lebih 75,000 pelajar di pelbagai peringkat
pengajian sama ada dalam atau luar negara dan 30 peratus daripadanya
merupakan penuntut universiti swasta.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment