Sunday, February 14, 2016

Satukan Ahli UMNO Jadi Fokus Utama Menteri Besar Kedah

http://peraktoday.com.my/wp-content/uploads/2016/02/ABashah.jpg
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang baru dilantik, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menjadikan usaha menyatukan ahli sebagai agenda utama untuk memperkukuhkan parti itu.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar berkata, beliau bersama ketua-ketua bahagian UMNO di seluruh negeri akan memberi tumpuan untuk memberi penjelasan kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi tentang perubahan ke­pimpinan yang berlaku.

“Agenda pertama nak bawa balik ahli UMNO (bersatu). Bila ada perubahan kepimpinan dalam UMNO dan kerajaan negeri, memang kita tidak boleh lari ada penyokong-penyokong termasuk ahli UMNO, golongan muda yang mungkin terasa (dengan perubahan).

“Menjadi tugas dan tanggungjawab saya bersama rakan-rakan lain (ketua-ketua bahagian) untuk bawa mereka balik supaya mereka boleh tahu mengapa kami (ketua-ketua bahagian) meminta Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perubahan.

“Kita akan terus beri penjelasan dan berjumpa (di peringkat akar umbi) kerana kita bukan saja-saja nak bawa perubahan. Sebaliknya, kita nak lihat jauh ke depan kerana ketua-ketua bahagian melihat perlu ada perubahan demi kebaikan UMNO Kedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penstrukturan semula kepimpinan UMNO Kedah diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berikutan pelantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar pada minggu lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang meletak jawatan pada 3 Februari lalu.

Menurut Ahmad Bashah, beliau akan mengadakan mesyuarat di peringkat Perhubungan UMNO negeri dalam masa terdekat ini bagi membincangkan usaha memulih dan memperkukuh parti itu.

“Saya akan panggil mesyuarat dalam masa terdekat dan selepas itu, kita boleh mula merancang. Kita akan buat jadual untuk turun ke akar umbi untuk beri penjelasan.

“Kita akan usahakan secepat mungkin untuk pulihkan UMNO. Mungkin makan masa dua bulan atau lebih… tapi kalau boleh nak segera namun yang penting beri penjelasan supaya orang faham,” ujarnya yang yakin pengalaman dimilikinya dan timbalannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mampu me­nguatkan parti semula.

Ketika ditanya mengenai bendera Barisan Nasional (BN) yang digantung secara terbalik di beberapa kawasan di negeri ini, Ahmad Bashah percaya senario itu hanya sementara berikutan rasa tidak puas hati sesetengah penyokong sahaja.

“Memang ada (bendera terbalik) itu kerana ada perubahan berlaku (pertukaran kepimpinan Menteri Besar). Itu berlaku kerana penyokong tersebut tidak memahami keadaan sebenar.

“Nanti apabila kita beri penjelasan, mungkin perkara sebegitu sudah tiada lagi. Kadang-kadang perkara begini bukan dilakukan ahli UMNO sebaliknya orang yang diupah yang buat demi kepentingan untuk mendapatkan duit,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berterima kasih kepada Presiden UMNO kerana memberi kepercayaan kepada beliau dan Mahdzir untuk memimpin jentera UMNO untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah memberitahu, pihaknya masih menunggu keputusan istana untuk menetapkan tarikh bagi menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mendapatkan perkenan berhubung senarai exco baharu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment