Tuesday, February 16, 2016

MIC Dan UMNO Cadang Kumpulkan Semua Ketua Bahagian Kedua-Dua Parti

UMNO DAN MIC
KUALA LUMPUR : Demi memastikan kejayaan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), MIC dan UMNO dicadang meng­adakan kongres dengan menjemput semua ketua Bahagian kedua-dua parti itu bagi membincangkan hala tuju mendepani pilihan raya berkenaan.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, berkata, objektif utama kongres itu adalah untuk membincangkan, berkongsi pengetahuan dan menyusun strategi berwibawa untuk manfaat kedua-dua pihak menghadapi pembangkang.

Menurutnya, kongres seperti itu penting kerana semasa pilihan raya diadakan, pengarah pilihan raya parti di setiap kawasan biasanya diketuai ketua bahagian parti yang disokong semua pemimpin sayap bahagian.

“Kita telah melalui pelbagai fasa kesukaran, konflik dalam parti yang tidak henti-henti. Ini adalah masa untuk duduk bersama-sama berbincang apakah hala tuju kita selepas ini. Sokongan yang sedia ada perlu digandakan.

“MIC akan memberi maklum balas kepada UMNO tentang sentimen masyarakat India di pelbagai kawasan serta cara terbaik untuk menangani isu yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau turut mengesahkan akan mengemukakan cadangan itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam masa terdekat.

Vell Paari berkata, beliau terpanggil untuk melakukan sesuatu memandangkan BN mempunyai masa terhad untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Masa kita semakin suntuk, kita perlu berbuat sesuatu. Parti gabung­an perlu berlari, langkah pertama adalah memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman yang dimiliki anggota parti komponen.

“Mereka yang mempunyai pengalaman tentang cara mengurus pilihan raya dan sudah tentulah mereka mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan dalam parti sendiri dan dengan parti komponen BN lain,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment