Sunday, February 14, 2016
Najib Kembalikan Ukhwah UMNO-PAS Era Tun Razak
KUALA LUMPUR : Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengorak langkah
luar biasa apabila beliau secara terbuka menghulurkan salam
persahabatan parti itu kepada Pas pada Perhimpunan Agung Umno tahun
lepas.
Ia dilihat banyak pihak sebagai langkah berani dan mencerminkan
ciri-ciri negarawan yang terdapat pada diri Najib apabila beliau
berusaha untuk mengembalikan kegemilangan masa lampau ketika
ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri, yang
menyaksikan Pas menjadi sebahagian daripada 'kerajaan perpaduan' selepas
beliau mengilhamkan penubuhan Barisan Nasional (BN).
Umno sudah mengotakan apa yang dikatakannya mengenai perpaduan Melayu
atau Islam, dan kini terserahlah kepada Pas untuk bertindak dengan
sewajarnya.
BN lahir selepas berlakunya rusuhan kaum pada 1969, yang terkenal
sebagai Peristiwa 13 Mei, dan pada Pilihan Raya Umum 1974, Umno dan Pas
mencipta sejarah apabila mereka sama-sama bertanding atas tiket BN.
Bagaimanapun, kerajaan perpaduan itu hanya bertahan selama kira-kira
tiga tahun berikutan pergolakan politik di Kelantan, yang merupakan kubu
kuat Pas, dan parti itu menuduh kerajaan Persekutuan menjadi puncanya
lalu meninggalkan BN.
Setelah hampir 40 tahun berlalu, kini dua parti politik Melayu itu terus
berbalah dan menjadi punca utama wujudnya perpecahan dalam kalangan
orang Melayu, yang merupakan bangsa majoriti di negara ini.
Melalui catatan terbaharu beliau dalam laman blognya, Menteri Komunikasi
dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata langkah Najib
menunjukkan beliau berkongsi mimpi dan aspirasi sama dengan ayahandanya.
"Mungkin inilah masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk berganding bahu
ke arah mencapai perpaduan nasional dan memenuhi aspirasi untuk membina
sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera bagi generasi sekarang dan
akan datang," kata Salleh.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu bersatu dan menumpukan
usaha mereka terhadap pembinaan negara berikutan hakikat bahawa
tahun-tahun mendatang merupakan tempoh amat penting serta mencabar bagi
dunia dan Malaysia.
Salleh berkata, setiap orang perlu memberi fokus untuk mencari jalan
bagaimana ekonomi negara dapat diperkukuhkan lagi dan politik
kaum-agama, yang ada ketikanya hampir memusnahkan perpaduan rakyat,
perlu dikurangkan walupun tidak dapat dihapuskan sama sekali.
Pendapat pemimpin Sabah ini memang tepat kerana setiap orang boleh
melihat dengan jelas bahawa adalah tidak wajar langsung sekiranya
perpaduan yang diimpikan hampir semua orang Melayu sejak sekian lama,
tidak dapat mereka capai hanya disebabkan tindak tanduk ahli politik
tertentu.
Pada forum di dalam dan luar negara, pemimpin dari kedua-dua pihak
bercakap tentang perpaduan ummah, tetapi reaksi pemimpin PAS kepada
salam perpaduan yang dihulurkan Najib itu setakat ini kelihatan amat
tidak menggalakkan.
Bukan menjadi rahsia lagi bahawa penghalang utama terhadap usaha
penyatuan Umno-Pas sebelum ini ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik
Abdul Aziz Nik Mat, lebih dikenali sebagai Tuan Guru.
Nik Abdul Aziz dengan tegas menolak langkah penyatuan semula itu melalui
pendirian beliau yang boleh ditafsirkan sebagai tidak mahu 'pisang
berbuah dua kali' berdasarkan pandangan beliau bahawa Pas telah diberi
layanan 'buruk' ketika dalam gabungan BN.
Era itu menyaksikan perubahan dalam pucuk pimpinan Malaysia apabila Tun
Razak meninggalkan dunia hampir 40 tahun lepas dan digantikan dengan Tun
Hussein Onn, apabila Pas membuat keputusan meninggalkan BN hinggalah
sekarang.
Pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Najib berkata: "Dengan hati
yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali
silaturrahim,...kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina
sebuah Malaysia di atas syariatnya."
Perdana Menteri mengulangi tawaran itu beberapa hari kemudian apabila
beliau berkongsi pentas dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
pada satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar Mesir, universiti tertua dunia.
Untuk rekod, Najib menziarahi Abdul Hadi ketika pemimpin Pas itu menerima rawatan di sebuah hospital di Istanbul, Turki.
Sebelum ini, tidak pernah wujud hubungan seakrab itu antara pemimpin
Umno dan Pas seperti yang dipamerkan Najib dan Hadi, dan harapan banyak
pihak untuk melihat kedua-dua parti yang tidak dapat bertentang mata
selama hampir 40 tahun itu akhirnya kembali bersatu, semakin kukuh.
Bagaimanapun, nampaknya beberapa pemimpin dalam Majlis Syura Pas, badan
pembuat keputusan parti itu, memiliki ego yang amat tinggi apabila dalam
mesyuarat minggu lepas, mereka membuat keputusan untuk tidak
bekerjasama dengan Umno.
"Dalam mesyuarat kami, majlis memutuskan untuk mengekalkan pendirian
lama kami iaitu untuk tidak menyertai semula BN atau bekerjasama dengan
Umno," kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya rasional majlis membuat keputusan itu ialah Pas tidak dapat
duduk bersama Umno kerana 'ia melibatkan isu berkaitan melakukan dosa
dan patuh syariah'.
Abdul Hadi sendiri berkata Umno perlu "kembali kepada dan mengamalkan
cara hidup Islam dalam semua aspek perjuangannya, sama ada politik,
sosial atau ekonomi, sebelum kami boleh berfikir mengenai kerjasama".
Sehubungan itu, beberapa pemimpin Majlis Tertiggi Umno menyeru kedua-dua
pihak supaya melupakan kisah lama dan dalam usaha menjayakan usaha itu,
sikap besar kepala dan ego yang terdapat dalam Majlis Syura Pas, perlu
digantikan dengan agenda lebih besar demi kebaikan negara dan untuk
manfaat bersama.
Sesungguhnya, perpaduan dalam politik Melayu sangat penting serta tidak
ternilai harganya. Lebih cepat Pas menerima hakikat ini, maka ia adalah
lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment