Sunday, February 14, 2016
'Saya Tak Nafikan UMNO Juga Ada Masalah' - Anuar Musa
ALOR SETAR : Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Umno
mempunyai keupayaan untuk menangani dan menyelesaikan apa juga isu yang
melanda parti berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Beliau berkata apa juga isu yang timbul dalam parti merupakan lumrah dalam politik.
Katanya Umno yang merupakan tunjang Barisan Nasional (BN) yang
memerintah negara ini akan terus berdepan dengan pelbagai isu yang
diputar belit oleh pihak tertentu termasuk parti pembangkang.
"Ini realiti dalam politik ... kami terpaksa beri penjelasan yang betul kepada rakyat.
"Saya tak nafikan yang kami (Umno) ada (tidak terlepas daripada) masalah
... kami ada keupayaan untuk tangani perkara ini berdasarkan pengalaman
mengatasi beberapa krisis politk yang besar sebelum ini," katanya
kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua
Penerangan Umno Bahagian dan Sayap di Pejabat Badan Perhubungan Umno
Kedah di sini hari ini.
Beliau memberi contoh baru-baru ini parti pembangkang telah memberi
gambaran seolah-oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menghentikan
tajaan kepada pelajarnya sehingga mengundang persepsi negatif terhadap
agensi kerajaan itu.
Annuar yang juga Pengerusi Mara berkata sebaliknya Mara telah
membelanjakan RM2 bilion setiap tahun untuk membiayai 75,000 pelajar.
Dalam pada itu, Annuar berkata sebagai Ketua Penerangan Umno yang
baharu, beliau akan berusaha memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap
parti itu yang telah diputarbelitkan oleh parti pembangkang.
"Kami mahu Umno negeri dan bahagian melaksanakan gerak kerja penerangan
secara efisien dan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.
Katanya beliau akan menjelajah ke setiap negeri bagi bertemu dan
mendengar masalah yang dihadapi Umno sebelum merangka gerak kerja untuk
pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu, Annuar turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Kedah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment