
Tuesday, February 16, 2016
PAC Sahkan Mohd Bakke Tidak Keluarkan Kenyataan Wang RM2.6 Bilion Dari 1MDB

KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
mengesahkan bahawa bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak pernah menyatakan bahawa dana syarikat
pelaburan strategik negara itu telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata fakta itu konsisten dengan
pengesahan berulang kali kepada umum yang dikeluarkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Sebagai pengerusi PAC, saya mengambil maklum dan kesal dengan
maklumat salah disiarkan media dan laman sosial, yang telah membuat
dakwaan palsu berhubung dengan apa yang dikatakan ketika sesi
pendengaran Mohd Bakke pada 11 Feb lalu di hadapan PAC,” kata Hasan
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, PAC adalah jawatankuasa Parlimen yang bi-partisan terdiri
daripada ahli-ahli Parlimen yang berpengalaman dari pihak kerajaan dan
pembangkang dan sedang menyiasat isu 1MDB secara profesional dan telus.
Siasatan itu dilakukan berdasarkan bukti berdokumen, temu bual saksi
dan hasil daripada pengauditan oleh Jabatan Audit Negara, katanya.
Beliau berkata kesimpulan daripada PAC mengenai siasatan itu akan menjadi satu rekod awam.
“Oleh itu kami menyeru kepada semua pihak supaya menghentikan
spekulasi yang tidak perlu dan menunggu laporan rasmi PAC yang akan
dibentangkan kepada Parlimen pada Mac 2016,” katanya.
Semalam, Mohd Bakke menafikan dakwaan kononnya beliau pernah menyebut
wang RM2.6 bilion itu adalah daripada syarikat 1MDB, sebagaimana
disebarkan melalui laman sosial.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment