Tuesday, February 16, 2016
Pelajar Tiada Duit Untuk Makan? Bukan Alasan Lagi. USIM Perkenal Sarapan RM1.50
SEREMBAN : Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan menu bajet dengan
harga sarapan pagi serendah RM1.50 dan makan tengah hari RM3 bagi
meringankan kos sara hidup pelajarnya.
Para pelajar boleh menikmati lima menu
berbeza setiap hari yang disediakan di kafeteria Bangunan Canselori, Hal
Ehwal Pelajar USIM di Nilai dekat sini.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa
Ahmad berkata, langkah memperkenalkan menu bajet itu merupakan
inisiatif pihak pengurusan universiti berkenaan bagi menjaga kebajikan
pelajar.
“Kita berharap dengan usaha ini tiada
lagi kedengaran isu pelajar berlapar kerana tiada wang. Mereka kini
boleh membeli makanan pada harga yang murah.
“Langkah ini bukan sahaja memberi
manfaat kepada pelajar yang tidak berkemampuan malah kemudahan ini boleh
dinikmati kakitangan USIM,” katanya semasa melancarkan Menu Ihtimam di
sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Antara menu sarapan pagi termasuklah nasi lemak dan sebiji telur rebus, nasi lemak dan telur goreng serta mi goreng dan sosej.
Pilihan menu makanan tengah hari pula termasuklah nasi, ayam masak merah dan ulam selain nasi tomato, ayam merah dan acar.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis
Perwakilan Pelajar USIM, Imran Razalle menyambut baik usaha pihak
universiti yang bekerjasama dengan D’Sara katering dalam memperkenalkan
menu makanan pada harga murah itu.
“Langkah ini dapat meringankan beban hidup pelajar yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kos pada masa ini,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment