Jangan bertindak keterlaluan dalam isu kaum, agama
KUANTAN 29 Sept. - Rakyat diingatkan agar tidak bertindak keterlaluan dan mengikut perasaan ketika tercetusnya masalah yang melibatkan kaum dan agama bagi menjaga perpaduan dan keharmonian negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, masalah pasti timbul apabila wujud kepelbagaian masyarakat namun rakyat perlu bijak menanganinya.
"Dalam hubungan sesama manusia, kadang kala berlaku keadaan tegang. Kita kena ingat kembali usaha gigih kita selama ini dalam membina negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jalinan Mesra Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bersama badan bukan kerajaan (NGO) agama di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang (NGO), Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz.
Tsu Koon berkata, segala isu yang timbul sehingga mengguris perasaan pihak lain perlu dipulihkan segera bagi menjadikan masyarakat kembali mesra dan penuh kasih sayang.
Tegas beliau, walaupun rakyat Malaysia ketika ini hidup dalam suasana harmoni namun usaha mengukuhkan perpaduan perlu dilakukan secara berterusan. - Bernama
No comments:
Post a Comment