Tuesday, April 14, 2015

18 Kementerian Catat 100%

Image result for Kementerian
14 April 2015, Putrajaya : Sebanyak 18 dari 23 kementerian dan agensi kerajaan berjaya mencatatkan 100 peratus pencapaian bagi 129 petunjuk prestasi utama (KPI) bumiputera yang ditetapkan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak empat kementerian lain mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus KPI manakala satu kementerian lagi gagal mencapai sasaran.

Beliau memberitahu, bagi tahun ini, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) memperakukan sebanyak 99 KPI bumiputera untuk kesemua 23 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

‘‘Bilangan KPI tahun ini lebih rendah dari tahun sebelumnya kerana kita ingin melihat semua kementerian melaksanakan KPI yang berimpak tinggi, bersifat berasaskan hasil dan mempunyai sasaran yang lebih tinggi daripada 2014,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MEB dan melancarkan Majlis Penasihat Industri Institut Keusahawanan Negara (Insken) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Najib berkata, antara pencapaian utama yang diraih oleh 18 kementerian itu adalah penyediaan dana khas pembangunan keusahawanan bagi program latihan K-workers dan bilangan kedai runcit yang dinaik taraf di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) selain pelaksanaan dasar yang menumpukan pada syarikat bumiputera untuk melaksanakan projek Mass Rapid Transit.

‘‘Ini adalah satu pencapaian yang cukup baik. KPI bumiputera penting bagi menentukan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi tahun ini, antara KPI bumiputera untuk semua kementerian dan agensi adalah peningkatan siswazah berstatus bekerja semasa hari konvokesyen dan peratusan pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan Mara mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Selain itu, menurut Najib, tumpuan juga pada pemindahan teknologi kepada bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM200 juta dan penjanaan nilai pasaran sebanyak RM2 bilion selain sebanyak 150 francaisi bumiputera baharu diwujudkan dengan nilai perolehan sekurang-kurangnya RM48 juta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, MEB kini dalam usaha membangunkan usahawan bumiputera melalui penekanan aspek modal ilmu, modal kemahiran dan modal sosial.

Berikutan itu, jelas beliau, dalam Bajet 2015, Insken dilantik sebagai pusat kecemerlangan keusahawanan di bawah kawal selia Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk memberi tumpuan kepada latihan pembangunan kapasiti dan keupayaan.

Jelas Perdana Menteri, selaras matlamat itu Insken telah menubuhkan Majlis Penasihat Industri yang akan menyediakan platform untuk usahawan berkongsi pengetahuan mengenai industri dengan usahawan lain.

‘‘Insken juga akan bekerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic), Universiti Tun Abdul Razak dan Technology Park Malaysia dalam meningkatkan keupayaan bumiputera dalam bidang keusahawanan,’’ katanya.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment