Tuesday, April 14, 2015
Beri Ruang Kepada Najib
15 April 2015, Kuala Lumpur : Dr Mahathir perlu berjiwa besar bukan ambil tugas pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu memberi peluang
kepada kerajaan untuk membetulkan apa juga isu berbangkit dan tidak
adil untuk beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika usaha itu
sedang berjalan.
Veteran UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, selaku
negarawan, Dr. Mahathir sewajarnya perlu mempunyai jiwa besar untuk
memberi ruang kepada kerajaan dan bukannya mengambil alih tugas
pembangkang dengan menyerang Perdana Menteri berterusan.
Beliau yang juga Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia
menambah, dalam banyak hal dibangkitkan Dr. Mahathir seperti kes
pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sebenarnya tidak wajar
dijadikan isu kerana sudah diselesaikan di mahkamah.
Namun, katanya, Perdana Menteri harus tampil lebih agresif dengan
mempamerkan sepenuh ketelusan untuk menjawab apa-apa juga persoalan yang
diti mbulkan agar kemelut berkenaan tidak berpanjangan sehingga menjadi
isu besar walaupun hakikatnya tidak benar.
“Nasihat saya juga sebagai orang lama, jangan kita menabur curiga
dengan menyerang kepemimpinan hari ini tanpa memberi peluang kepada
usaha membetulkan keadaan yang ketika ini sedang dilakukan terutama
dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Berilah ruang kepada Jabatan Audit Negara membuat audit forensik
terlebih dahulu, tak bolehlah kita terus menabur curiga. Kalau selepas
itu terbukti wujud penyelewengan, tidak salah untuk mengkritik,” katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas suasana tidak sihat dalam UMNO dan Barisan Nasional
(BN) sejak kebelakangan ini ekoran kritikan keras Dr. Mahathir terhadap
kepemimpinan Najib dan meskipun Perdana Menteri sudah tampil menjawab,
serangan tersebut masih lagi berterusan.
Dalam pada itu, Megat Najmuddin berkata, apa yang berlaku dalam soal
hubungan antara Dr. Mahathir dan Najib hanya akan merugikan UMNO serta
orang Melayu, kerana ramai pihak mahu pun parti politik tertentu sedang
menanti habuan daripada masalah tersebut.
“Sudah tentu masalah ini jika berlarutan hanya akan menguntungkan
parti dan pihak tertentu, Dr. Mahathir sendiri tentu sedar perkara ini.
Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana tidak langsung
menguntungkan UMNO dan Melayu,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment