Tuesday, April 14, 2015
99 KPI Bumiputera Ditetapkan Untuk Semua Kementerian Tahun Ini – Najib
14 April 2015, Putrajaya : Majlis Ekonomi Bumiputera memperakukan
sebanyak 99 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bumiputera bagi tahun ini bagi
semua 23 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata bilangan KPI tahun ini lebih rendah dari tahun
sebelumnya iaitu 129 kerana kerajaan mahu melihat semua kementerian
melaksanakan KPI yang berimpak tinggi, bersifat ‘outcome-based’ dan
mempunyai sasaran lebih tinggi dari 2014.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata antara KPI bumiputera
tahun ini adalah menentukan peningkatan siswazah berstatus bekerja
semasa konvokesyen selain memastikan peratusan besar pelajar di
institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendapat pekerjaan
dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
“KPI lain adalah lebih banyak penajaan biasiswa luar negara Program
Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman diberi kepada
bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pencapaian positif KPI
bumiputera 2014 kementerian dan pelancaran Majlis Penasihat Industri
untuk mempertingkat kapasiti dan keupayaan usahawan di sini, hari ini.
Terdahulu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera selama kira-kira dua jam.
Perdana menteri berkata KPI bumiputera yang lain termasuk memastikan
pemindahan teknologi kepada bumiputera dengan nilai kontrak
sekurang-kurangnya RM200 juta dan penjanaan nilai pasaran sebanyak RM2
bilion.
Selain itu, katanya, semua kementerian dan JPM perlu memastikan
peratusan besar pemilikan rumah di bawah Program Bantuan Rumah diterima
oleh bumiputera dan menjual sejumlah besar rumah di bawah Projek
Perumahan Rakyat kepada golongan itu.
Najib berkata KPI lain yang ditetapkan adalah memastikan hampir 40
peratus daripada keluasan keseluruhan premis perniagaan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) disewakan kepada bumiputera.
“Lebih 50 peratus (kumulatif) daripada kos keseluruhan projek Mass
Rapid Transit ditawarkan kepada bumiputera dan 150 francaisi bumiputera
baharu diwujudkan dengan nilai perolehan sekurang-kurangnya RM48 juta,”
kata Najib.
Perdana menteri berkata KPI bumiputera adalah penting bagi menentukan
agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan oleh semua kementerian dan
agensi kerajaan bagi menentukan pembangunan negara bersifat inklusif.
Najib berkata MEB dalam mesyuarat hari ini turut memaklumkan bahawa
18 kementerian berjaya mencapai 100 peratus bagi semua 129 KPI
bumiputera yang ditetapkan tahun lalu, empat mendapat 80 peratus,
manakala satu lagi kementerian gagal mencapai sasaran.
Beliau berkata antara pencapaian utama bagi KPI bumiputera tahun lalu
adalah menerusi penyediaan dana khas pembangunan keusahawanan dan
perniagaan serta program latihan pekerja berpengetahuan (K-workers).
“Pencapaian utama juga dapat dilihat menerusi usaha naik taraf kedai
runcit melalui program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) serta
pelaksanaan dasar ‘carve out’ (pemberian kontrak kepada syarikat
bumiputera) bagi projek Mass Rapid Transit,” kata Najib.
Perdana menteri berkata pembangunan usahawan bumiputera tidak boleh
dicapai dengan hanya modal kewangan semata-mata, sebaliknya usahawan
juga perlu memiliki modal diri, modal ilmu, modal kemahiran dan modal
sosial.
Katanya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selaku pusat
kecemerlangan keusahawanan telah menubuhkan Majlis Penasihat Industri
agar usahawan Berjaya dapat berkongsi pengetahuan industri serta
perniagaan dengan para usahawan lain.
Najib memaklumkan bahawa anggota Majlis Penasihat Industri terdiri
daripada usahawan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang
berjaya dalam sektor masing-masing.
“Sebagai pembimbing industri, mereka akan membantu mengukuhkan arah tuju dan kerangka keusahawanan INSKEN,” katanya.
Perdana menteri berkata INSKEN juga akan menjalin kerjasama dengan
Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC); Universiti Tun
Abdul Razak dan Taman Teknologi Malaysia bagi meningkatkan kapasiti
serta keupayaan bumiputera dalam keusahawanan.
“Dengan ini, sudah pasti usahawan bumiputera dapat mencapai tahap
daya saing yang mapan dan seterusnya dinilai berasaskan merit, di
pasaran terbuka,” kata perdana menteri.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment