Tuesday, April 14, 2015
Isu 1MDB Tercetus Diasaskan Kepada Persepsi Golongan Tertentu – Ahmad Husni
14 April 2015, Kuala Lumpur : Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad
Husni Hanadzlah percaya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tercetus
berasaskan persepsi yang dimainkan oleh golongan tertentu.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin tidak semua rakyat terpengaruh
dengan persepsi yang diwujudkan berhubung polemik syarikat pelaburan
strategic kerajaan itu, termasuk yang dimainkan oleh pihak media
tertentu.
“Isu ini diwujudkan berasaskan persepsi oleh golongan tertentu,
termasuk media apabila media tertentu telah memainkan isu ini,” katanya
pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan senator Datuk Yahaya Mat Ghani
mengenai langkah diambil kerajaan, bagi memastikan isu 1MDB tidak
berpanjangan, dan tidak terus menjadi spekulasi oleh pihak tidak
bertanggungjawab.
Ahmad Husni menarik perhatian bahawa dalam isu 1MDB, pihak-pihak
berkenaan lebih cenderung memainkan isu kontroversi tetapi tidak pula
menyentuh tentang pelaburan menguntungkan yang dibuat oleh syarikat itu.
“Saya
hairan, bila kita lihat dalam laporan akhbar umpamanya, tidak ada
langsung diceritakan pelaburan (1MDB) dalam Petro Saudi yang telah
menjana keuntungan sebanyak US$487 juta atau bersamaaan RM1.494 bilion,”
katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datin Rahimah Mohamad mengenai sama
ada kerajaan boleh meyakinkan rakyat selepas proses audit 1MDB selesai,
Ahmad Husni berkata beliau yakin ia dapat diselesaikan berdasarkan
inisiatif kerajaan, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara (PAC).
“Kabinet juga telah memanggil (1MDB) dan kita meneliti satu demi satu
dan kita minta 1MDB pula buat pembentangan dan dari situ sepatutnya
Kabinet telah berpuas hati,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ahmad Husni, atas permintaan pihak tertentu supaya
audit yang dibuat lebih telus, hasil audit 1MDB akan diserahkan kepada
PAC yang dianggotai anggota parlimen Barisan Nasional dan pembangkang
untuk dibincangkan.
Menjawab soalan Senator Datuk Boon Som a/l Inong berhubung
perkembangan audit yang dijalankan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB,
Ahmad Husni berkata ia sudah dimulakan dan segala dokumen juga
dikumpulkan untuk diaudit.
“Kita (kerajaan) telah memaklumkan kepada Ketua Audit Negara supaya
melakukan audit itu secara komprehensif. Selepas audit selesai, selepas
itu kita boleh jawab tohmahan terhadap 1MDB,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment