Monday, April 13, 2015
Azmin ‘Selective Amnesia’ Atau Buat-Buat Lupa
14 April 2015, Shah Alam : DALAM sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor
pada 7 April lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali secara sinis dalam
menyindir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menghidap penyakit
hilang ‘selective amnesia’ atau kehilangan daya ingatan dan hanya
mengingati serta menyimpan apa yang dimahukan.
Sindiran Mohamed Azmin itu dilihat seolah-olah merujuk tindakan Abdul
Khalid yang ketika membahaskan usul titah Sultan Selangor pada 2 April
lalu mengkritik tindakan Menteri Besar itu yang didakwa tidak konsisten
dalam memuktamadkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air
Selangor sebelum ini yang membuktikan kelemahan sebenar pentadbiran
kerajaan negeri ketika ini.
Dalam perbahasan itu, Abdul Khalid turut menyatakan gesaannya supaya
Mohamed Azmin berundur dari jawatannya sekiranya gagal memuktamadkan
perjanjian utama itu dengan memberikan kepada individu yang layak.
Namun kritikan Abdul Khalid terhadap pentadbiran negeri itu tidak
terhenti setakat itu apabila beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan
menerusi akaun Facebook miliknya pada 6 April lalu membuat sindiran
bahawa amat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat keputusan
popular tanpa memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar
situasi dan kemampuan hakiki.
Penulis tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai perbalahan di
antara Abdul Khalid dengan Mohamed Azmin ini. Namun, satu perkara yang
amat menarik perhatian adalah tentang sindiran Menteri Besar terhadap
Abdul Khalid itu yang mengaitkan dengan penyakit ‘selective amnesia’.
Barangkali Mohamed Azmin juga mungkin tidak sedar beliau mungkin
mengalami simptom penyakit tersebut apabila lupa mengenai janji untuk
menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM1,500
sebulan. Barangkali terlalu teruja dengan jawatan Menteri Besar yang
disandang, janji itu mungkin dibuat-buat lupa.
Jika Menteri Besar sukar untuk mengingati janji itu kerana mungkin
menghidap ‘selective amnesia’, penulis mungkin boleh mengambil peluang
ini dengan mengingatkan bahawa janji untuk menaikkan elaun guru KAFA
adalah antara yang terkandung dalam manifesto bersama PKR, DAP dan Pas
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM1,500 sebulan itu adalah
sebahagian daripada rancangan peningkatan gaji melibatkan seluruh warga
kerja sekolah agama di negeri ini yang turut disusuli dengan strategi
memperbanyakkan aktiviti pengajaran yang setimpal dengan gaji yang
dibayar.
Bagaimanapun, hampir dua tahun lebih PRU-13 berlalu, kerajaan negeri
seolah-olah hilang ingatan untuk melaksanakan kenaikan elaun guru KAFA
sebagaimana yang dijanjikan sedangkan kerajaan negeri telah
membentangkan dua Bajet Negeri masing-masing pada 2014 dan 2015
melibatkan peruntukan kewangan yang besar yang bernilai berbilion
ringgit.
Pada 20 November 2013, kerajaan negeri mengumumkan Bajet Selangor
2014 melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.8 bilion yang mana dari
segi pecahannya 66.2 peratus atau RM1.2 bilion untuk perbelanjaan
mengurus yang terdiri dari perbelanjaan bekalan dan perbelanjaan
tanggungan manakala selebihnya iaitu 33.78 peratus diperuntukkan untuk
perbelanjaan pembangunan dengan nilai sebanyak RM624.9 juta.
Peruntukan kewangan dalam Bajet negeri itu bagaimanapun bertambah
pada 2015 kepada RM2.42 bilion yang mana RM1.28 bilion diperuntukkan
untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.13 bilion adakan untuk
perbelanjaan pembangunan.
Malah, Menteri Besar ketika membentangkan Bajet Selangor 2015 pada 24
November tahun lalu turut mengumumkan kutipan hasil negeri pada tahun
ini dianggarkan meningkat pada kadar 6.49 peratus kepada RM 1.97 bilion
berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.
Melihat dari angka-angka kewangan bajet kerajaan negeri bagi
kedua-dua tahun tersebut, seolah-olah Selangor begitu gah dari segi
kedudukan kewangannya. Namun, amat malang sekali apabila kedua-dua bajet
negeri itu tidak dimasukkan dengan janji pakatan pembangkang untuk
menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,500 sebulan.
Ketika ini, guru KAFA di Selangor menerima elaun sebanyak RM1,300
setiap bulan yang mana RM800 daripadanya adalah dibiayai oleh Kerajaan
Pusat manakala bakinya RM500 bayar oleh kerajaan negeri. Jika mengikut
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan negeri,
seramai 6,742 orang guru KAFA di Selangor berada di bawah kategori
miskin.
Mengenai insiden seorang guru KAFA dari Sekolah Rendah Agama Pekan
Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang dilaporkan dihalang
daripada menyerahkan surat untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan
negeri menaikkan elaun itu pada 8 April lalu, penulis merasa simpati
atas kepayahan yang dialaminya dek kerana sikap pentadbiran Selangor
yang seolah-olah ‘hanya tahu berjanji tetapi tidak ditunaikan’.
Nasib yang dialami oleh Ekhsan Bukharee itu mungkin turut dirasai
sebilangan besar guru KAFA lain di negeri ini apatah lagi beliau
menyatakan ada rakan seperjuangan terpaksa melakukan kerja lain
seperti tukang cuci dan sebagainya untuk menampung kehidupan mereka.
Namun, penulis amat kesal dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa
Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa
dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika sesi
pertanyaan dalam DUN Selangor pada 9 April lalu yang menyatakan kenaikan
elaun RM1,500 kepada guru KAFA di negeri ini masih lagi dalam
peringkat kajian termasuklah masih meneliti kesesuaian penambahan
peruntukan untuk tujuan itu.
Persoalannya, mengapa kerajaan negeri mengambil tempoh masa yang
terlalu lama untuk melaksanakan kajian kenaikan itu sedangkan pada masa
sama pentadbiran Selangor difahamkan mendabik dada mengumumkan
pertambahan dalam hasil kerajaan negeri.
Apakah kerajaan negeri
merasakan guru KAFA ini tarafnya tidak sama dengan guru tetap di
Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI)
yang ada di Selangor ketika ini.
Jika demikian, ini satu pengabaian serta diskriminasi yang serius
dalam sistem pendidikan agama di Selangor. Penulis menolak sama sekali
jika perkara ini benar-benar berlaku kerana guru KAFA ini juga memainkan
peranan besar dalam pembangunan insan yang berteraskan agama Islam di
negeri ini. Apakah sebenarnya tumpuan kerajaan negeri dalam membela
nasib para guru KAFA ini?
Ternyata penyakit ‘selective amnesia’ dihidapi oleh mereka yang
benar-benar memilih tindakan. Dalam kes guru KAFA ia menyerlahkan sikap
sebenar kerajaan negeri yang bersifat selektif dalam soal membela
rakyat. Apakah ini dasar kepedulian yang sering dibanggakan oleh
kerajaan negeri selama ini?
Disediakan oleh : YB Budiman bin Mohd Zohdi
*PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment