Tuesday, April 14, 2015

Mukhriz Perlu “Menarik Rambut Dalam Tepung”

mukhriz-mahathir-press-conference 
15 April 2015, Kuala Lumpur : Baru-baru ini, nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tiba-tiba jadi perhatian ramai ekoran serangan bertali arus bapanya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya yakin, ramai yang tertunggu-tunggu kenyataan dari Mukhriz yang kini mengetuai Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar di negeri Jelapang Padi itu.

Apatah lagi beliau baru-baru ini diasak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Lebai Sudin, untuk meletak jawatan sekiranya gagal menyatakan sokongan terhadap Najib yang memilih dan melantik beliau ke jawatan nombor satu di negeri tersebut.

Meskipun Ahmad dikecam hebat oleh sebilangan penyokong Mukhriz di Kedah, saya dapat rasakan tekanan yang dihadapi Menteri Besar itu memandangkan yang menyerang Presiden yang melantiknya itu ialah bapanya sendiri.

Pada pandangan saya, jika Mukhriz menyokong bapanya dan tidak menyatakan sokongan terhadap Najib, beliau berpotensi dituduh sebagai seorang yang tidak tahu kenang budi, khianat pada Presiden, dilabel sebagai pemecah belah UMNO dan “anak bapa”.

Sebaliknya, jika beliau menyokong Najib dan enggan menyokong kempen Tun M menyerang Najib dengan pelbagai persoalan yang sudah dijawab, maka beliau akan dilihat sebagai “anak derhaka” dan mungkin akan dikata “gilakan jawatan”.

Biasalah, di zaman serba serbi dikomen “keyboard warrior” ini, tadah saja telinga untuk mendengar komen-komen dari “pakar-pakar politik” itu, bukan? Zaman Najib tidak seperti di zaman Tun M dulu. Itu fakta.

Pada pandangan peribadi saya, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar yang mewakili BN, Mukhriz tiada pilihan selain dari menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Mukhriz kini bukan mewakili pandangan peribadinya seperti beliau menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu. Kini beliau mewakili seluruh warga UMNO Negeri Kedah dan tidak wajar mementingkan pendirian peribadinya seorang sahaja. Ini juga fakta.

Mukhriz perlu berlapang dada dalam hal ini dengan mengeluarkan kenyataan sokongan terhadap Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO secara terbuka, dan menegaskan beliau masih menghormati pandangan serta jasa bapanya.

Berkenaan persoalan Tun M tentang 1MDB dan sebagainya, saya yakin sekiranya Mukhriz tidak berpuas hati, beliau boleh mendapat penjelasan penuh dan fakta-fakta berkaitan dari Kerajaan Pusat kerana akses yang beliau peroleh kini memudahkannya untuk berbuat demikian.

Pada saya, adalah lebih baik bersikap ‘bijak politik’ demi kepentingan rakyat dalam hal ini. Perkara yang hanya berfaktakan “hearsay” tentang 1MDB dan kes jenayah Sirul Azhar, apatah lagi terbit dari mulut pembangkang seperti Rafizi dan Mahfuz, rasanya tidak perlu dipercayai sangat.

Lagipun, sejak bila kita percaya pada dakyah pembangkang yang selalunya terbukti palsu dan bertujuan jahat?

Namun, sekiranya Mukhriz benar-benar berhasrat untuk menyokong pendirian Tun M dan mementingkan kepentingan peribadi dirinya, beliau sewajarnya sedar tentang kesan-kesan buruk yang bakal berlaku di dalam UMNO, khususnya di Kedah.

Saya yakin beliau sedar tentang kesan-kesan yang terpaksa dihadapi. Selain kesan peribadi yang perlu Mukhriz terima, kesan lain seperti meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar juga perlu dihadapi.

Siapa yang rugi? Selain Mukhriz sendiri, warga UMNO dan rakyat Kedah juga rugi kehilangan “ikon harapan”, bukan?

Jika Mukhriz memperlihat tindakan ragu-ragu dan melambat-lambatkan sokongan terhadap kepimpinan Najib, ia akan dilihat seolah beliau ragu-ragu atau hilang keyakinan pada kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden parti. Tun M sendiri ketika hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah, beliau telah bertindak keluar dari UMNO. Sanggupkah Mukhriz mengikut jejak langkah Tun M itu?
runningmates.storyimage
Lainlah jika Mukhriz mahu mengesahkan desas-desus yang mengatakan beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kepimpinan Kerajaan Pusat. Meskipun dakwaan desas-desus itu pada saya tidak benar, dengan tindakan melambat-lambatkan sokongan terhadap kepimpinan Najib, ia seolah mengesahkan spekulasi berkenaan, bukan?

Kita tahu jawatan sebesar itu bukan calang-calang tanggungjawabnya di mana beliau bukan lagi mewakili pandangan peribadinya sahaja, bahkan ia mewakili keseluruhan warga parti di Kedah. Dan sudah tentu Mukhriz perlu dahulukan kepentingan perpaduan dan kekuatan parti berbanding kepentingan peribadinya, bukan?

Saya yakin jika UMNO Negeri Kedah enggan menyokong kepimpinan Presiden, maka krisis kepimpinan UMNO di Kedah akan berlaku. Pepecahan di kalangan warga UMNO di Kedah juga akan berlaku. UMNO Kedah akan dilihat lemah dan kurang diyakini rakyat.

UMNO di Kedah tidaklah sekuat mana sebenarnya, menang pun hanya majoriti mudah dan bukan majoriti 2/3. Ditambah pula dengan pepecahan dan krisis kepimpinan, saya yakin UMNO Kedah akan menjadi bahan ketawa di kalangan pembangkang.

Cuma serangan Tun M terhadap Najib saya akui kurang berhemah kerana saya percaya beliau punya seribu lagi cara yang lebih baik untuk menegur. Beliau berhak mengkritik dan menegur Najib, tapi bukan ini caranya…

Maaflah jika tulisan ini mengganggu emosi atau ketaksuban segelintir pihak. Saya hanya meluahkan pandangan saya sahaja. Saya menghormati pandangan pihak lain. Saya cuma ahli UMNO biasa yang sayangkan perpaduan parti dan mahu UMNO terus gagah dimata rakyat. Wallahua’alam.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment