Tuesday, April 14, 2015
UMNO Perlu Sepakat Bantu Presiden Tangani Apa Jua Isu Berbangkit
14 April 2015, Kuala Lumpur : Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk
Mas Ermieyati Samsudin berkata semua pihak di dalam UMNO perlu
bersepakat dalam menangani segala isu yang dipersoal dan dibangkitkan
rakyat seterusnya membantu Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskannya
hingga ke peringkat akar umbi.
Ini kerana tegas beliau sekiranya tiada penyatuan dan persepakatan
maka pihak pembangkang tertentu akan memanipulasi isu-isu tersebut dan
seterusnya memberi imej buruk kepada parti.
“Kita perlu bersama-sama memahami cabaran yang dihadapi pada hari ini bukan sahaja cabaran di luar tetapi cabaran dalam parti.
“Kerana itulah dalam ucapan pembukaan saya sebentar tadi saya telah
memohon agar Datuk Seri Najib menjawab beberapa isu selain daripada
wawancara khas bersama TV3 tempohari.
“Memang sukar untuk beliau menjawab dan menerangkan segalanya dalam
tempoh satu jam tetapi beliau telah menerangkan serta membuka ruang agar
setiap kepimpinan Puteri memahami erti cabaran yang sebenar dalam
parti,” ujarnya kepada media selepas perjumpaan tertutup kepimpinan
Puteri UMNO bersama Presiden Parti di PWTC sebentar tadi.
Selain itu jelas Ermieyati, Puteri juga melahirkan hasrat agar isu
antara Najib dan Tun Mahathir diselesaikan segera dalam bentuk
kekeluargaan.
“Puteri lahir dari tangan Tun M maka kami sayangkan Tun M juga
Presiden sedia ada. Jadi kami berharap perkara ini dapat diselesaikan
dalam suasana harmoni.
“Namun, walau apapun Puteri akan teruskan kerja dan tanggungjawab
kerana masih banyak cabaran yang menanti di hadapan,” ujarnya lagi.
Dalam pertemuan tersebut, kepimpinan Puteri telah diberi penerangan
berkaitan 1MDB, GST, ekonomi dan pelbagai isu berbangkit yang lain yang
dihadapi oleh rakyat.
Sebelum pertemuan bersama Puteri ini, Najib juga telah mengadakan pertemuan yang sama dengan kepimpinan Wanita dan Pemuda.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment