Muhyiddin berkata pada masa sama, UMNO memelihara kepentingan yang sah kaum-kaum lain dan menghormati kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing-masing.
Sunday, May 10, 2015
Isu Melibatkan Ketelusan Tadbir Urus Kerajaan Perlu Dipandang Berat – Muhyiddin
10 Mei 2015, Kuala Lumpur : Sebarang isu yang timbul melibatkan soal
ketelusan atau tadbir urus dalam kerajaan perlu dipandang berat dan jika
terdapat masalah ia perlu diselesaikan segera, kata Timbalan Presiden
UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan perdana menteri berkata kewujudan sesebuah kerajaan yang
telus dengan tadbir urus yang baik adalah menjadi keutamaan rakyat dalam
membuat pilihan politik pada masa kini.
“Ini termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak
boleh dibiarkan berlarutan dan setiap dakwaan mengenai penyelewengan
dalam urusan 1MDB perlu segera disiasat secara bebas, telus dan adil dan
pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB kerana amanah menjadi
satu nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti
dan kerajaan,” katanya dalam perutusan bersempena ulang tahun ke-69
UMNO.
Beliau berkata amanah menjadi nilai penting yang menjadi teras
kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan dan jika pemimpin UMNO
amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepimpinan, bersih
daripada sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan, maka parti itu
akan mendapat sokongan padu rakyat.
“Sebaliknya, jika pemimpin dilihat tidak amanah, maka rakyat akan
menolak parti kita. Sebagai anggota UMNO yang sayangkan parti, kita
perlu sentiasa mengutamakan perjuangan parti,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata sejak penubuhannya, UMNO berjaya mewujudkan
keharmonian kaum dan memelihara kestabilan negara dengan bekerjasama
serta berkongsi kuasa dengan rakan-rakan parti komponen dalam Barisan
Nasional.
Namun, katanya kedudukan UMNO pada hari ini tidak sekukuh dahulu,
selain gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum
ke-12 dan ke-13, UMNO juga sedang menghadapi masalah persepsi yang kian
gawat.
“Tidak dinafikan orang Melayu masih meletakkan harapan yang tinggi
terhadap UMNO untuk membela nasib mereka, namun saya bimbang jika
isu-isu yang melingkari parti kita tidak dapat dijawab dengan baik untuk
terus meyakinkan rakyat tentang keikhlasan perjuangan UMNO, maka rakyat
akan menolak UMNO dalam pilihan raya dan kita terpaksa melepaskan
amanah kepimpinan yang digalas selama ini,” katanya.
Beliau berkata survival UMNO bergantung kepada sejauh mana rakyat
melihatnya sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai, justeru
anggotanya perlu sentiasa bermuhasabah, memperbaiki segala kelemahan dan
bertindak memperbetulkan keadaan sebelum terlambat.
“Rakyat sedang memerhati tindakan dan pendirian UMNO dalam beberapa
isu utama. Dalam isu hubungan kaum dan perpaduan nasional misalnya,
rakyat sedang melihat ke mana arah tuju UMNO, adakah UMNO akan terus
menjadi sebuah parti Melayu dan Islam yang moderat, sederhana dan
progresif atau berubah menjadi sebuah parti perkauman yang rasis dan
ekstrim,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata UMNO juga tidak boleh terjebak dalam polemik perkauman
dan agama yang ekstrem sehingga meruntuhkan asas-asas negara yang telah
dibina oleh pemimpin terdahulu dan termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya walaupun wujud pelbagai asakan dan provokasi yang ingin
melihat UMNO terjerumus ke dalam jerangkap rasisme dan ekstremisme,
namun anggota UMNO perlu istiqamah.
“Pendirian UMNO selama ini yang seimbang, moderat dan sederhana dalam
mengurus hubungan kaum dan agama perlu dipertahankan kerana kita bukan
sebuah parti Melayu yang rasis dan kita juga bukan sebuah parti Islam
yang jumud dan ekstrem,” katanya.
Beliau berkata UMNO sebaliknya adalah sebuah parti yang membawa
rahmat dan manfaat untuk semua, selain membela nasib bangsa Melayu dan
memartabatkan agama Islam.
Muhyiddin berkata pada masa sama, UMNO memelihara kepentingan yang sah kaum-kaum lain dan menghormati kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing-masing.
“Saya percaya selagi mana kita berada di atas landasan perjuangan
yang seimbang ini maka kita akan berjaya mengekalkan perpaduan nasional
dan parti kita UMNO akan terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Muhyiddin berkata UMNO juga perlu mengemukakan jawapan segera kepada
segala permasalahan yang dihadapi rakyat seperti tekanan kos sara hidup
yang semakin meningkat.
“Kita akui bahawa kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah
disebabkan oleh faktor-faktor yang sebahagian besarnya berada di luar
kawalan kerajaan, namun sebagai kerajaan yang prihatin, pelbagai dasar
dan program dilaksanakan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi
masalah beban kos sara hidup dan UMNO perlu menjuarai isu ini,” katanya.
Selain itu, katanya setiap anggota parti juga perlu bersama-sama
memperkukuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan dan menghindari
sebarang tindakan yang boleh melemahkan UMNO bagi menghadapi pilihan
raya umum akan datang.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment