Tuesday, July 07, 2015
Ahli UMNO Jangan Alpa Cubaan Pihak Robohkan Perpaduan, Kesatuan Parti
7 Julai 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor berkata seluruh ahli UMNO perlu terus waspada dan
tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari
ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi
benteng parti selama ini.
Justeru beliau menyeru ahli-ahli UMNO dari kepimpinan atas hinggalah
ahli-ahli di akar umbi mengambil sikap bertenang dan berfikir secara
rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku di sekeliling sejak
kebelakangan ini khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana
Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin
atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan
yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Dalam masa yang sama, saya menyeru semua ahli UMNO untuk meneruskan
fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur”,
katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.
Pada masa yang sama beliau turut meminta semua ahli UMNO tidak
terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan
oleh pihak lawan yang sememangnya gemar menangguk di air.
“Sehubungan itu, sekali lagi saya mengajak ahli-ahli UMNO sekalian
untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan
memastikan demokrasi terus subur,” ujarnya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment