Tuesday, July 07, 2015
Apa Jua Bentuk Pakatan Pembangkang Akhirnya Akan Hancur Juga – Zahid
7 Julai 2015, Putrajaya : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi percaya apa jua political marriage atau pakatan politik yang cuba dibuat parti pembangkang akhirnya akan menuju kehancuran.
Ini kerana tegas beliau pakatan yang cuba dibuat oleh pembangkang
adalah kesepakatan yang longgar kerana masing-masing mempunyai agenda
sendiri.
“Tunggulah ketikanya apabila ianya akan terlerai begitu sahaja dan
ianya tidak berlandaskan ideologi dan pegangan jauh sekali falsafah
politik atas nama kebersamaan”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan terbentuknya pakatan baharu di kalangan pembangkang selepas Aidilfitri ini.
Pakatan baharu yang dikatakan sebagai Pakatan 2.0 ini diwujudkan
berikutan ketidaktentuan yang terus melanda pakatan pembangkang yang
terus bergelut dengan pelbagai masalah.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri seterus berkata pada pengamatan
beliau, apa yang pakatan pembangkang lakukan adalah cubaan yang mereka
pernah lakukan sebelum ini.
“… sepertimana di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan
Rakyat dan pakatan yang baharu ini sekali lagi akan dilihat sebagai satu
percubaan yang akhirnya menuju kehancuran”, ujarnya.
Berhubung usaha pakatan pembangkang kononnya mahu mengumpulkan
Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional untuk mengadakan sidang khas undi
tidak percaya kepada Perdana Menteri pula beliau berpendapat, walaupun
dari segi perundangan dan peraturannya mempunyai asas untuk mereka
memanggil sidang khas, namun beliau secara peribadi berpendapat tidak
ada kesesuaian dan keperluan untuk mengadakan sidang khas berkenaan.
“Saya yakin bahawa ahli-ahli parlimen Barisan Nasional akan tetap
bersama-sama YAB Perdana Menteri untuk menerajui negara ini walau apa
pun yang berlaku kita tetap berada di belakang Perdana Menteri”, katanya.
Beliau turut menambah, pakatan pembangkang bukan sahaja menangguk di
air yang keruh malahan mereka sebenarnya sedang mencari jalan untuk
menggugat kestabilan politik di negara ini dengan niat untuk lebih
mengeruhkan lagi keadaan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment