EDITOR MENULIS...
8 JULAI 2015
Kita
tertanya-tanya, mengapakah media-media pro-barat menyasarkan Perdana
Menteri Najib Razak sebagai “target” sekaligus membawa motif yang jelas;
gulingkan beliau at all cost.
Jika hendak difikir-fikirkan, melalui
pembacaan saya, Perdana Menteri Najib Razak bukanlah selantang mantan
perdana menteri, yang berjaya melabelkan dirinya sebagai anti-semitik,
dan tidak mesra dengan Barat.
Apa yang sebenarnya ditakuti oleh Barat?
Bermula dari Sarawak Report, yang
mengembar-gemburkan isu 1MDB dengan fakta yang tidak benar, sehingga
membawa kepada penangkapan seorang bekas eksekutif PetroSaudi yang
dikhabarkan sebagai punca segala-galanya. Perlu diingatkan, Malaysia
tidak terbabit di dalam penangkapan tersebut.
Sedang pembohongan itu hampir lenyap,
Wall Street Journal pula tampil dengan carta kononnya berlakunya
pemindahan wang ke akaun peribadi Perdana Menteri yang berjumlah RM700
juta. Tersedak saya mendengar jumlah itu, dan tergelak membaca
apabila sejumlah wang yang begitu banyak dengan selamba masuk ke akaun
peribadi Perdana Menteri. Ada juga yang percaya bulat-bulat.
Samada suratan atau kebetulan, yang mana
saya fikir ia adalah satu konspirasi, pentadbiran Perdana Menteri
Najib Razak dihujani dengan serangan-serangan maha hebat dari barat.
Sebelum ini pula, kita dikejutkan dengan
dana yang terima oleh satu pertubuhan dari sebuah firma antarabangsa.
Pertubuhan tersebut telah menggunakan isu yang juga berkait dengan media
antarabangsa untuk memburuk-burukkan kerajaan dan Perdana Menteri.
Setelah modus operandi mereka gagal akibat pembongkaran pembohongan dan
seterusnya akaun tersebut telah dibekukan oleh kerajaan Malaysia.
Lenyap isu terbabit, kerajaan diserang
pula dengan isu GST. Saya tidak menafikan kecacatan perlaksanaanya,
cuma GST terbukti penting dan efektif sehingga 160 buah negara telah
melaksanakannya. Apa yang kita perlu tahu, isu GST sememangnya mampu
menggoyahkan kerajaan. Malah, terbukti isu GST menjadi senjata utama
politik di negara-negara seperti Australia dan Ghana.
Untung menjadi pembangkang di Malaysia,
kerana dibantu oleh isu-isu berasaskan antarabangsa, yang hampir 100%
bersifat spekulasi dan pembohongan sehingga setakat hari ini. Justeru
itu, tidak perlulah kita terbawa-bawa dengan saranan terbaru mereka
untuk adakan tunjuk perasaan besar-besar sekiranya Perdana Menteri Najib
Razak enggan meletakkan jawatan.
Asas isu ialah pembohongan, dan memang
sejak azali pembangkang sangat sinonim dengan pembohongan. Apa yang
hendak kita hairankan?
Isu Scorpene, GST, 1MDB oleh Sarawak
Report dan kemudiaannya penampilan Wall Street Journal sebagai pendesak
untuk mengekalkan konsistensi asakan terhadap Malaysia sangat
mencurigakan. Bagi penulis, paksinya ialah Barat. Apakah pembangkang di
Malaysia sememangnya dibantu oleh kuasa asing yang telah lama
mengidamkan Malaysia?
Perdana Menteri Najib Razak secara
terbuka percaya dengan prinsip kesederhanaan, atau wassatiyyah.
Maknanya, beliau tidak suka mencipta musuh, dan tidak dapat dinafikan,
pelbagai usaha samada makro atau mikro dilaksanakan untuk
mensejahterakan Malaysia.
Barat senantiasa dan tidak mudah putus
asa untuk terus-terusan menyerang Perdana Menteri. Apa yang diharapkan
ialah barisan kepimpinan akan hilang kepercayaan terhadapnya. Ini bukan
rekayasa, kerana jarum-jarum fitnah yang tanpa henti telah berjaya
meyakinkan ramai pimpinan, termasuklah mantan perdana menteri yang
terkenal dengan imej anti-semitik dan anti barat.
Apa sebenarnya yang Barat takut dengan susuk tubuh seorang Perdana Menteri bernama Najib Razak?
Rakyat Malaysia perlu tahu, dalam praktis
undang-undang, “innocent until proven guilty”, dan bukannya “guilty
until proven innocent”.
Saya tidak tahu samada Perdana Menteri
Najib Razak boleh menggunakan taktik yang sama diguna oleh mantan
Perdana Menteri Tun M dalam menangani asakan barat iaitu “jangan percaya
laporan media asing yang dikuasai oleh Yahudi yang jahat”.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment