EDITOR MENULIS...
8 JULAI 2015
Hampir
sebulan sudah Muktamar PAS berakhir, namun PAS dilihat masih lagi gagal
menyelesaikan masalah dalaman yang mereka hadapi, apatah lagi untuk
menguraikan kekusutan yang berlaku antara parti itu dengan DAP dan PKR.
Kita dapat melihat bagaimana Guan Eng bukan saja hanya menghamburkan
kata-kata kecaman, malah menterjemahkan api permusuhan dengan PAS itu
dengan memecat wakil-wakil PAS dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Melenting benar PAS di Pulau Pinang dengan tindakan Guan Eng itu hingga
sanggup mengadakan sidang akhbar mendakwa mahu bertindak memfailkan
saman terhadap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Ralat juga bila
dipecat sewenang-wenangnya begitu, kan? Dekat nak raya pulak tu…
Sekonyong-konyong itu, ramai pula aktivis PAS “progresif” yang sebelum
ini kononnya “tidak memandang pada jawatan” mula berura-ura hendak
menubuhkan parti baru selepas Aidilfitri ini. Hairannya, mengapa tidak
ditubuhkan sekarang saja? Sengaja mahu bermain tarik tali?
Namun bagi beberapa aktivitis muda seperti Wan Ji dan calon Ketua Pemuda
PAS yang “berjaya” memperoleh 7 undi, Zul Hazmi Shariff, mereka lebih
rela untuk tidak kekal bersama jemaah ulama parti dalam mempertahankan
perjuangan PAS.
Wan Ji secara rasmi telah “memeluk” PKR manakala Zulhazmi khabarnya
sudah “convert” masuk DAP, mengikut jejak langkah Pak Samad Said. Itu
baru melibatkan aktivis dan penyokong muda PAS yang kononnya “berjuang
demi Islam”…
Bagi mereka yang sudah laman di dalam PAS seperti Phahrolrazi Zawawi,
PAS seolah sudah terkubur dalam diri mereka. PasMa kini lebih tertarik
untuk membentuk parti baru sekiranya golongan G18 tidak berbuat demikian
selepas raya ini.
Soalnya, dimanakah perginya “perjuangan” Mat Sabu, Khalid Samad, Dr
Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Mahfuz Omar, Mazlan Aliman, Salahuddin Ayub
dan ramai lagi mereka yang hilang jawatan ketika Muktamar PAS berakhir
awal bulan lalu?
Apakah mereka akan terus setia bersama PAS? Mereka hilang jawatan, dan
terus memasang niat untuk menubuhkan parti baru? Cepat benar berubah…
Saya melihat perkembangan sikap para umara PAS ini menjurus ke arah
duniawi, lebih tepat lagi ialah “hilang perjuangan kerana hilang
jawatan”.
Dulu ketika Guan Eng mula menjadi Ketua Menteri, PAS mendabik dada
mendakwa anak Kit Siang itulah “Khalifah” mereka. Malah lelaki Cina yang
terkenal dengan sifat “chauvinis ultra kiasu” itu disamakan pula dengan
“Khalifah Umar bin Abdul Aziz”…
Kini setelah dipecat “Khalifah”, apa pula gelaran untuk Guan Eng? Tokong?
Begitu juga dengan bekas-bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan
parti itu, cepat benar hilang perjuangan mereka, bukan? Mungkin kerana
bila menubuhkan parti baru maka mereka boleh menjawat jawatan dalam
parti sesuka hati? Kemaruk jawatan sangatkah mereka?
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad baru-baru ini seolah merayu pula supaya
puak-puak yang cuba merosakkan PAS itu supaya tidak meninggalkan parti.
Dia turut mempersoal tentang perjuangan yang puak-puak berkenaan pegang
selama ini.
Pada saya, sekiranya mereka hilang perjuangan setelah hilang jawatan,
itu membawa maksud bahawa perjuangan mereka selama berpuluh tahun
bersama PAS itu hanyalah palsu-palsu belaka. Tidak tulen seperti Lebai
Mat Kapak yang tidak punya jawatan parti di sebuah kampung di Kedah.
Cuma, mengulas mengenai keadaan terkini PAS, jelaslah bahawa terdapat
hikmah yang tidak ternilai yang perlu dijadikan iktibar dari kesan
pemilihan parti berkenaan iaitu dapat “mengenal permata berbanding
kaca”.
Kini bukan saja PAS, malah saya yakin seluruh umat Islam dapat melihat
siapakah yang sebenarnya “permata” dan siapakah sebenarnya hanyalah
“sampah” dan “tin kosong” di dalam PAS. Perjuangan hanyalah dibibir,
namun perjuangan dihati mereka sangat lemah berbanding Mek Limah di
Kelantan.
Saya mahu tunggu dan lihat, bilakah PAS akan sembuh sepenuhnya. Mungkin
PAS mendakwa mereka sudah kembali ke perjuangan asal dengan barisan
kepimpinan ulama. Tapi, sekiranya masih lagi menyimpan “jebon-jebon”
berkenaan, tidak mustahil PAS akan tungging terbalik nanti. Jangan
dipandang remeh strategi puak-puak tersebut…
Justeru itu, saya menyarankan pada kepimpinan PAS supaya terus bertegas
dan tidak perlu merayu pada mana-mana “jebon” untuk tidak meninggalkan
parti. Mereka mahu tinggalkan PAS, mereka boleh berambus.
Selaku Naib Presiden PAS, Idris harus yakin bahawa PAS takkan mati kalau Mat Sabu keluar parti, kan? Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment