Thursday, July 09, 2015
Berani Kerana Benar....Siasat Pembocor Maklumat Dalam Pasukan Penyiasat Khas
Saya mendesak agar Peguam Negara menyiasat segera kebocoran maklumat
siasatan yang belum lengkap oleh Pasukan Penyiasat Khas yang ditubuhkan
oleh beliau sendiri. Kecuaian itu boleh membawa kesan tidak adil dan
fitnah kepada YAB Perdana Menteri.
Adalah pelik apabila Wall Street Journal boleh menerbitkan sebuah
artikel berkaitan dokumen Pasukan Peyiasatan Khas kurang daripada 24 jam
selepas serbuan dibuat.
Tidak lama selepas kenyataan mengenai enam akaun yang dibekukan dibuat,
Wall Street Journal sekali lagi telah menerbitkan dokumen –dokumen
berkaitan.
Menurut Wall Street Journal, terdapat dua (2) jenis dokumen yang telah
mereka terima daripada Pasukan Penyiasat Khas Kerajaan di Malaysia. Yang
pertama adalah ‘remittance document’ dan yang kedua adalah dokumen
pasukan penyiasatan tersebut.
"Remittance document” cuma menyebut nombor akaun AmIslamic Bank yang tidak mempunyai nama sesiapa pun.
Jika benar ada di kalangan anggota kepada Pasukan Penyiasatan Khas
pimpinan Peguam Negara membocorkan maklumat kepada Wall Street Journal,
maka dokumen yang mereka terima adalah dokumen yang masih di dalam
siasatan yang tidak lagi tahu kesahihannya atau kebenarannya.
Peguam Negara dan ketua agensi yang terlibat di dalam Pasukan
Penyiasatan Khas ini perlu melakukan siasatan dalaman untuk mengesan
dalang yang telah membocorkan maklumat dan dokumen sulit ini kepada
media asing.
Tindakan tegas perlu diambil kerana pembocoran maklumat ini telah
mengakibatkan spekulasi negatif terhadap imej Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Pembocoran maklumat ini juga boleh menjejaskan keseluruhan penyiasatan
kerana terdapat individu yang tidak lagi bersifat ‘impartial’.
Saya juga hairan kenapa Pasukan Penyiasat Khas ini menumpukan siasatan
kepada akaun 1MDB sedangkan Pasukan Khas ini sepatutnya mendapatkan
testimoni terlebih dahulu daripada pihak WSJ sebagai pihak yang
menyebarkan tuduhan.
Sekali lagi ingin ditekankan, Pasukan Penyiasat Khas PERLU menjalankan
siasatan dalaman untuk mengenal pasti siapakah dalang yang membocorkan
maklumat tersebut dan tindakan tegas perlu diambil dengan segera. AG
perlu bertanggungjawab di atas kebocoran ini dan perlu menafikan dia
terlibat dengan kebocoran ini.
Ekoran daripada pembocoran itu pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama
ada wujud konspirasi terancang untuk menggulingkan Perdana Menteri yang
dipilih secara demokratik terutama dalang utamanya.
DATUK DR. PUAD ZARKASHI
AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO
8 JULAI 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment