Friday, July 10, 2015
Dosa Mereka Buat Ini Seperti Tiada lagi.....Terlalu Banyak Perkara Mengarut Di Media Sosial - Najib
Petaling Jaya : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa
rakyat 'supaya tidak terlalu mempercayai' laporan dan bahan-bahan yang
dibaca di media sosial.
Beliau berkata 'terlalu banyak perkara mengarut di media sosial' dan orang ramai perlu mengabaikannya.
"Jangan dengar langsung. Tidak semuanya benar," kata Najib kepada jemaah
di sebuah masjid di Taman Melati sebelum majlis berbuka puasa bersama
penduduk di kawasan itu.
Merujuk kepada siasatan yang sedang dijalankan terhadap 1Malaysia
Developmen Berhad (1MDB), Najib berkata kebenaran pasti akan muncul
akhirnya.
Katanya, mengenai dakwaan bilion ringgit yang dikatakan lesap dalam
1MDB, orang ramai perlu menunggu laporan Ketua Audit Negara untuk
mengetahui kebenarannya.
Najib berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai isu tersebut.
Malah, beliau menegaskan laporan penuh Ketua Audit Negara akan menjawab segala dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan dana 1MDB.
Pada Jumaat lalu, Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan artikel yang
memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana AS$700 juta
(RM2.6 bilion) milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri.
Pasukan petugas khas yang dianggotai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani
Patail, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed ditubuhkan
untuk menyiasat dakwaan pemindahan dana 1MDB.
Terdahulu, Najib mengumumkan beberapa berita gembira yang bakal dinikmati oleh penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya kerajaan akan membina 11 buah tempat letak kereta bertingkat di
kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM290 juta di seluruh
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi golongan yang kurang berkemampuan, katanya, kerajaan dengan
kerjasama swasta menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR)
membina Rumah Gelandangan di Medan Tuanku dan Jalan Pekeliling yang akan
siap tidak lama lagi.
Najib berkata beliau akan meninjau sendiri projek bernilai RM17 juta itu
yang akan menawarkan kemudahan tempat tinggal selesa kepada golongan
gelandangan di ibu negara.
Perdana menteri kerajaan juga bersetuju untuk menjual rumah pangsa Sri
Tioman, di Taman Melati kepada penyewa yang telah menghuni sejak 20
tahun lepas pada harga yang berkemampuan.
"Kerajaan akan melakukan apa sahaja keperluan untuk rakyat jelata kerana
kita mahu jaga hati rakyat dan rakyat pasti akan jaga hati kita apabila
sampai masanya," katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 2,000 daripada 8,500 golongan asnaf terdiri
daripada anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di
sekitar Wilayah Persekutuan menerima sumbangan wang tunai.
Najib diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama kira-kira
3,000 warga ibu kota.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment