Friday, July 24, 2015
Hadi Awang Dedah Ada Ahli PAS Anggap DAP Macam WALI
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan anggota
parti itu tidak menjadikan DAP sebagai "wali" atau ketua. Beliau berkata
hanya anggota parti yang sedar mengenai perjuangan Islam bersama
fadilatnya dapat membezakan antara kawan dan wali.
"(Mereka) boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya, tetapi
tidak boleh berwalikan DAP kerana tidak beriman dan budiman," katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan (perjuangan Islam)
tersebut, sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu
dengannya, kerana tidak membezakan di antara kawan dan wali," katanya
dalam kenyataan media bertajuk "Kepada sesiapa yang berkenaan PAS
sahaja."
Kenyataan Abdul Hadi itu sebagai reaksi kepada tindakan sekumpulan
pemimpin PAS yang diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu
yang telah menubuhkan parti serpihan, Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang
diuar-uarkan akan menggantikan PAS dalam gabungan parti pembangkang.
Beliau juga turut memuji anggota PAS yang tidak 'merajuk' dan terus
beristiqamah atau taat menjalankan sesuatu urusan walaupun tidak
terpilih dalam muktamar PAS atau tidak tercalon dalam pilihan raya dan
'tidak mendapat projek dan balak'.
"Mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan
Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja, tetapi tidak
mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai
cita-citanya yang segera menggunakan PAS.
"Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya
memintas di tengah jalan, hanya meramal untuk menang dunia sahaja,"
katanya.
Abdul Hadi berkata sesiapa yang tidak istiqamah atas aqidah, dasar dan
matlamat pasti akan berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar
dari jemaah.
"Sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui dia hanya
pelakon dan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka, bersama pelakon
tambahannya," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment