Friday, July 24, 2015
Jangan Jadi Tukang Provoke Perkauman Di Media Sosial..
Penyebaran isu perkauman menerusi media sosial oleh orang ramai akan
menggugat perpaduan dalam kalangan rakat berbilang kaum di negara ini.
Penyelaras gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak keganasan,
Kamarudin Ahmad menegaskan, ini kerana, masih terdapat individu yang
menjadi 'ejen' provokasi bertindak mengeluarkan kenyataan mengapi-apikan
sentimen perkauman dalam media sosial khususnya mengenai kejadian
pergaduhan di Plaza Low Yat, baru-baru ini.
"Kami menolak sekeras-kerasnya insiden yang berlaku itu berpunca
daripada isu perkauman sebaliknya merupakan perbuatan beberapa individu
tidak bertanggungjawab dan kemudian maklumat salah yang disebarkan
melalui media sosial memperlihatkan ia seperti isu perkauman."
"Justeru, kita meminta masyarakat tidak menjadi ejen provokasi yang
bagaikan bertindak mencurah minyak ke api dengan niat membangkitkan
kemarahan dalam kalangan rakyat kita menggunakan isu perkauman," katanya
dalam sidang akhbar di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di Kuala Lumpur,
semalam.
Antara NGO yang terlibat dalam deklarasi menolak keganasan dan
menegakkan keluhuran undang-undang itu ialah Gabungan NGO 1Malaysia
(NGO1M), Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia, Persatuan Sivik India
Malaysia, Yayasan Pembangunan Ibu Tunggal, Persatuan Penduduk Pandan
Perdana, Persatuan Penduduk Ampang Putra dan Barisan Nambikkai Malaysia.
Kamarudin menjelaskan, keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini
sejak merdeka lagi perlu dihargai oleh masyarakat berbilang kaum di
negara ini sekali gus tidak mensia-siakannya akibat perbuatan segelintir
pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Jangan buat keputusan mengikut khabar angin yang tersebar melalui media
sosial, jangan benarkan emosi menjadi hakim bagi sesuatu kejadian itu,"
ujarnya.
Bagi Presiden NGO1M, Mohammad Nazlee Aziz Yeop, beliau menggesa ahli
politik supaya tidak mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen
perkauman demi kepentingan peribadi semata-mata.
"Saya ingin tegaskan, ahli politik juga jangan cuba membangkitkan isu
perkauman semata-mata untuk meraih sokongan demi kepentingan peribadi
mahupun politik."
"Orang ramai pula jangan mudah terpengaruh dengan berita yang disebarkan
sebaliknya sentiasa mengingatkan diri bahawa keamanan, perpaduan,
pembangunan, kesejahteraan tidak mudah dikecapi tanpa persefahaman yang
kuat dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara ini," katanya.
Pada 13 Julai lalu, Plaza Low Yat telah digemparkan dengan situasi
tegang susulan video sekumpulan pemuda bergaduh dan merusuh di plaza
berkenaan menjadi viral di laman media sosial.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment