Friday, July 24, 2015
Kerajaan Akan Gubal Undang-Undang Untuk Kawal Isu Perkauman
Perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum
serta bangsa perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin selain menjamin
keamanan negara. Justeru, cadangan penggubalan Rang Undang-Undang
Keharmonian Nasional pada masa ini adalah sangat tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata,
langkah kerajaan itu bertujuan memupuk persefahaman serta menyemai sikap
saling hormat-menghormati sesama masyarakat yang hidup dalam suasana
berbeza etnik dan juga kepercayaan.
"Rang undang-undang ini digubal menerusi rundingan antara pelbagai
pihak berkepentingan yang bermatlamat untuk memelihara keamanan dan
perpaduan melalui pendidikan, amalan kesederhanaan dan perbincangan."
"Ini merupakan langkah pertama bagi mencapai perpaduan dan keamanan
menerusi ruang perbincangan secara terbuka," katanya dalam satu
kenyataan di Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup
ketika meninjau Plaza Low Yat semalam berkata, insiden di lokasi itu
pada 13 Julai lalu menunjukkan Akta Keharmonian Nasional itu relevan
untuk mengekang isu-isu perkauman dan agama di Malaysia.
Insiden pergaduhan di plaza berkenaan tercetus selepas seorang lelaki
berusia 22 tahun ditangkap oleh pekerja sebuah kedai menjual alat
komunikasi kerana didakwa mencuri sebuah telefon bimbit berharga RM800.
Susulan insiden tersebut, percanggahan maklumat berbaur perkauman
disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi media
sosial dan memviralkannya sehingga mencetuskan rusuhan.
Menurut Seng Kuan, Malaysia tidak boleh menikmati kestabilan sepertimana
hari ini tanpa perpaduan serta keharmonian yang merupakan kunci
kemajuan sesebuah negara.
Oleh itu, beliau sependapat dengan kenyataan Kurup yang menegaskan
bahawa penggubalan rang undang-undang berkenaan tepat pada masanya bagi
menangani isu-isu perkauman khususnya ekoran daripada insiden Plaza Low
Yat yang dicetus akibat perbuatan lain sehingga membawa kepada bibit
perkauman.
"Kita tidak mahu isu seperti ini dibenarkan berlaku lagi pada masa akan
datang. Sikap menanam kebencian, keganasan dan ketaksuban tidak akan
sesekali dibenarkan. Sehubungan itu rang undang-undang ini perlu untuk
mengukuhkan perpaduan negara."
"Perpaduan muncul dalam kalangan kita sendiri dan bukannya dari luar.
Oleh itu, cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Keharmanonian Nasional
merupakan sebahagian daripadanya," ujar beliau lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment