Friday, July 24, 2015

Sarawak Akan Tetap Kekal Bersama Malaysia Buat Selamanya.. - Ketua Menteri

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika ditemui berkata, kerajaan negeri tidak akan bersetuju dengan sebarang usaha untuk memisahkan Sarawak dari Malaysia.

Menurut beliau, berhubung perkara tersebut, pihaknya sememangnya memahami dengan sentimen 'Sarawak untuk orang Sarawak', tetapi tidak akan melayan atau meluluskan sebarang referendum.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya percaya dengan autonomi penuh kerajaan negeri dan lebih penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.

"Kita bukan hanya sebuah nege­ri, kita adalah parti kepada pembentukan Persekutuan (Malaysia) yang setara."

"Kita tidak menyokong sehingga mahu memisahkan diri dari Malaysia. Kita adalah Malaysia, kita adalah Malaysia kini dan kita adalah Malaysia selama-lamanya," ujarnya.

Adenan berkata demikian dalam ucapannya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Memperingati 22 Julai Sarawak Merdeka di Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya di Kuching, semalam.

Dalam majlis itu, yang turut hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan menteri Kabinet negeri yang lain.

Adenan memberitahu, sebuah jawatan kuasa ditubuhkan telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani bagi memperincikan menge­nai penurunan kuasa-kuasa tertentu Persekutuan kepada negeri.

"Kita tetap yakin semua perkara ini akan diuruskan. Kita berbangga sebagai rakyat Malaysia dan orang Sarawak."

"Kita bukan lagi orang yang tidak tahu dan sentiasa senang hati, malah bertanggungjawab serta boleh mencapai pelbagai kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Jelasnya, beliau selaku pemimpin kerajaan nege­ri akan sentiasa membela nasib Sarawak dalam Persekutuan dan apa yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh tentang keputusan sama ada bersetuju untuk menjadikan hari bersejarah yang bertarikh 22 Julai 1963 sebagai cuti umum, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dan akan mengumumkannya pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, ujar Adenan, sekiranya hari tersebut hanya dijadikan sebagai alasan untuk bercuti, ia akan ditolak namun jika dijadikan hari memperingati sejarah dan kemerdekaan ia akan dipertimbangkan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment