Monday, July 13, 2015

Harapan Baru… Parti Islam Baru… Apa Sebenarnya Yang Baru Atau Makin Bercelaru?

13 Julai 2015, Kuala Lumpur : “Gerakan Harapan Baru… parti politik Islam baru… apa sebenarnya yang baru?”, demikian persoalan yang dilontarkan Bekas Setiausaha Pas Selangor,  Norman Toha dalam mengulas penubuhan parti baru oleh kumpulan progresif Pas yang diketuai Mat Sabu serta kebanyakan pemimpin-pemimpin kecewa yang tewas dalam muktamar Pas baru–baru ini.

Jelas beliau walaupun penubuhan parti baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan namun terdapat banyak persoalan tentang apakah harapan atau apa perkara yang baru yang cuba ditonjolkan.

“Apakah yang akan digerakkan..harapan baru apakah yang akan dibawa oleh mereka-mereka ini untuk rakyat Malaysia? Apakah harapan baru mereka untuk Melayu, Cina India, dan lain-lain lagi yang ada di negara ini? Senang cerita untuk seluruh rakyat negara ini apa harapan yang akan dibawa?

“Kalau untuk Melayu Islam apakah sebelum ini ketika berada di dalam saf kepimpinan Pas mereka tidak memberikan harapan baru. Begitu juga dengan kaum-kaum yang lain… apakah sebelum ini mereka tidak perjuangkan? Apakah parti yang akan mereka tubuhkan itu kelak juga tidak sama dengan Islam yang dibawa oleh Pas hari ini sedangkan Islam menyeru umatnya bersatu,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hari dilaporkan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang diterajui kumpulan progresif Pas. Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu berkata pembentukan parti politik baharu dibuat atas nama Gerakan Harapan Baru atau dikenali ‘Harapan Baru’.

“Harapan baru akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baharu yang berteraskan Islam. Parti ini akan membantu ke arah penubuhan Pakatan Rakyat 2.0,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.
19628990466_757184000a
Sidang media itu turut dihadiri ahli jawatankuasa penaja parti baharu termasuk bekas calon Presiden Pas, Ahmad Awang serta bekas pemimpin Pas antaranya ialah Salahudin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Barisan bekas pemimpin Pas tersebut tewas dalam pemilihan parti itu pada awal Jun lalu.

Norman seterusnya menambah tindakan berkenaan yang bakal diambil oleh kumpulan tersebut bakal mencelarukan lagi perpaduan umat Islam di negara ini sedangkan hakikatnya Islam menyeru umatnya bersatu padu.

“Memang umat Islam, orang Melayu  akan terus bercelaru… mungkin itulah agaknya harapan baru mereka. Jelas tindak-tanduk mereka ini tidak membawa apa-apa harapan baru yag boleh kita harapkan melainkan harapan yang penuh kemusykilan”, ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment