Monday, July 13, 2015
Insiden Plaza Low Yat Bukan Isu Perkauman, Tapi Perbuatan Jenayah – Najib
13 Julai 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan kejadian pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat perlu
dilihat sebagai perbuatan jenayah dan bukannya satu masalah perkauman.
Beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan media
sosial untuk menghangatkan unsur perkauman dalam kejadian itu sebagai
tidak bertanggungjawab dan memberi perspektif tidak tepat tentang
perkara sebenar yang berlaku.
Najib berkata beliau telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid
Abu Bakar untuk mengambil tindakan berkesan untuk mengelakkan kejadian
seperti yang berlaku malam tadi daripada berulang.
“Ini satu perkara yang perlu diserah kepada polis untuk lakukan
siasatan rapi. Mereka yang langgar undang-undang, tindakan akan diambil.
“Saya nak tegaskan dalam perkara seperti ini, kelazimannya ialah
untuk melihat sesuatu dari perspektif kaum. Satu perbuatan jenayah
akhirnya dijadikan pertimbangan yang berunsur perkauman. Ini tidak
seharusnya berlaku dalam negara kita,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan
kepada golongan gelandangan pada majlis Nur Ramadan anjuran Kementerian
Wilayah Persekutuan di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan, Lorong Medan
Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Malam tadi, dianggarkan ratusan orang berkumpul di hadapan Plaza Low
Yat susulan insiden pergaduhan pada Sabtu yang didakwa berpunca daripada
perasaan tidak puas hati seorang lelaki yang dituduh mencuri sebuah
telefon bimbit.
Setakat ini, polis telah menahan 19 individu yang dipercayai ada
kaitan dengan perhimpunan itu yang turut melibatkan beberapa insiden
pergaduhan.
Menurut Najib, selain menghangatkan unsur perkauman di media sosial,
terdapat juga pihak yang menyebarkan gambar-gambar yang langsung tiada
kaitan dengan kejadian berkenaan.
Justeru, beliau menyarankan agar rakyat tidak mudah menerima dan
mempercayai apa jua perkara yang tersebar melalui media sosial, selain
memeriksa fakta sebenarnya bagi mengelakkan kejadian sama daripada
berulang.
“Bertenang dan serah kepada pihak berkuasa sebab pihak polis ada
kemampuan jaga ketenteraman awam dan pastikan keadilan tetap dapat kita
tentukan dalam kes ini dan dalam perkara-perkara lain.
“Orang ramai jangan mudah sangat percaya berita. Bila sesuatu berlaku
mesti periksa fakta sebenar. Dan jangan jadi ‘mob psychology’. (Bila)
sesuatu berlaku, semua nak berhimpun…tanpa tahu perkara sebenar kita
ambil tindakan ikut emosi,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada kelewatan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia mengambil tindakan menyekat kebebasan media sosial
menjadi punca salah guna oleh pihak bertanggungjawab, Najib berkata
perkara itu wajar dikaji secara mendalam.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment