Monday, July 13, 2015
Penguatkuasa KPDNKK Kecewa Dituduh Lindungi Peniaga Plaza Low Yat
Kesatuan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan kecewa dengan
tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu di laman sosial kononnya pegawai
penguatkuasa kementerian itu menerima rasuah untuk melindungi kesalahan
peniaga di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Presidennya, Rus Bakarurraini Shahfie berkata, tuduhan yang
dilemparkan itu tidak adil bagi pegawai penguatkuasa kerana ia
mencalarkan imej pegawai serta kementerian.
“Pegawai telah menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya dan adil.
Tuduhan sedemikian bukan sahaja merosakkan nama pegawai penguatkuasa
malah kementerian itu sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sehubungan itu, kesatuan akan membuat laporan polis dalam tempoh
seminggu sekiranya individu terbabit tidak mengemukakan bukti berhubung
perkara itu.
“Daripada membuat tuduhan liar, mereka perlu memberikan bukti bahawa pegawai kami telah menerima rasuah itu,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pegawai melakukan penyelewengan pihaknya
tidak teragak-agak untuk melaporkannya kepada pejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau bahagian integriti di KPDNKK.
“Kita tidak nafikan ada pegawai menyalahgunakan kuasa dan sebagainya
dan ada pegawai yang telah diambil tindakan tetapi kita tidak akan
bersekongkol dengan mereka (pegawai) yang bersalah ini,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment