Wednesday, July 15, 2015
Ibarat Ludah Ke Langit, Amaran Mat Sabu Makan Diri...Mana Boleh Dipercayai Cakapnya
Akhirnya segala penafian dan dolak-dalik sebelum ini menjadi kenyataan
apabila kumpulan progresif dalam PAS menzahirkan impian untuk bergerak
dalam sebuah entiti berasingan.
Dalam suasana penuh ceria dan bersemangat, bekas Timbalan Presiden PAS,
Mohamad Sabu mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu -
yang dikatakan sedia untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam
pembentukan Pakatan Rakyat 2.0.
Jawatankuasa penaja parti baharu itu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru).
Harapan Baru dipelopori oleh barisan bekas kepimpinan PAS yang tewas pada pemilihn parti itu pada awal Jun lalu.
Menariknya, penubuhan satu lagi parti politik pembangkang ini dilihat
sebagai cerminan kepada PAS apabila menjadikan Islam sebagai teras
utama.
Kata Mohamad yang lebih lebih dikenali sebagai Mat Sabu, prinsip Islam
yang didokong Harapan Baru tidak didorong oleh emosi, sentimen atau
slogan semata-mata.
Sebaliknya jelas beliau, ia adalah satu tawaran untuk memberi 'rahmat dan keadilan' kepada rakyat.
Namun kurang 24 jam selepas Mohamad mengisytiharkan laluan dan hala tuju
masa depan politiknya, beliau menerima pandangan yang pelbagai.
Ada yang memuji dan tak kurang yang mengeji.
Paling mencuri tumpulan ialah apabila netizen mula menjadikan amaran
keras Mohamad ketika berucap di pentas Muktamar Pemuda PAS Pusat kurang
setahun yang lalu sebagai bahan untuk menyerang bekas pemimpin senior
PAS itu.
Rata-rata menyifatkan tindakan Mohamad umpama meludah ke langit.
mStar Online sebelum ini juga pernah melaporkan mengenai amaran keras
Mohamad kepada ahli PAS supaya tidak menubuhkan parti baharu walaupun
tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti.
"Jangan tubuh parti lain atas nama Islam. Beza pandangan macam mana pun jangan tubuh parti politik lain atas nama Islam.
"NGO tak apa...tubuhlah mana-mana NGO untuk bersama Pakatan Rakyat,"
katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Tahunan
Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor pada 16
September tahun lalu.
Jelas sekali apa yang berlaku hari ini bertentangan dengan seruan dan amarannya sendiri.
Lebih memalukan apabila tindakan Mohamad itu dilihat didorong oleh kuasa
dan pangkat khususnya apabila gagal mempertahankan kedudukannya selepas
kalah teruk di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun Mohamad yang menyertai PAS sejak 1982 segera menafikan telahan
sinis bahawa beliau kecewa kerana hilang jawatan dan pangkat selepas
pemilihan yang lalu.
"Kalah bukan perkara baharu, saya pernah kalah beberapa kali sebelum ini. Saya tak kecewa kerana kalah.
"Tapi kami kecewa dan marah kepada Umno dan Barisan Nasional kerana
tidak dapat menyelesaikan penyelewengan dan salah urus tadbir di negara
ini dengan baik," katanya yang menjadikan parti pemerintah itu sebagai
alasan.
Pemeriksaan di beberapa laman blog dan media sosial seperti Facebook
mendapati skrip amaran Mohamad supaya tidak menubuhkan parti baharu
kembali menjadi siulan.
Walau apa jua kritikan, Mohamad sendiri sebagai orang lama dalam arena
politik pembangkang sudah pasti mempunyai percaturannya sendiri.
Hanya menunggu masa, lambat laun Mohamad dan pendokong Harapan Baru
akhirnya akan disingkirkan daripada PAS kerana melanggar Perlembagaan
parti.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment