Sunday, July 12, 2015

Kerjasama Pakatan Rskyat Hanya Berdasarkan Prinsip Keselesaan Sementara

12 Julai 2015, Kepala Batas : Perpecahan dalam Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang sudah diduga sejak awal lagi kerana kerjasama antara tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP hanya bersandarkan prinsip keselesaan sementara.
http://www.parlimen.gov.my/images/webuser/ahli/2013/P041.jpg
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau tidak terkejut dengan perpecahan Pakatan Rakyat kerana asas penubuhannya yang rapuh menunjukkan gabungan pakatan itu tidak kukuh untuk rakyat menyandarkan harapan.

Katanya situasi Pakatan Rakyat sangat berbeza dengan Barisan Nasional yang mempunyai 14 parti komponen dan berada pada persefahaman yang kuat dan jitu.

“Saya melihat suasana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat adalah terjemahan daripada awal kerana tidak berada pada kerangka yang kuat, hubungan ‘perkahwinan’ antara mereka hanya berdasarkan keselesaan sementara.

“Bila wujudnya pertembungan yang tidak dapat dileraikan, prinsip perjuangan masing-masing tidak lagi sependapat, maka akhirnya membawa kepada perpecahan yang tidak dapat dibendung,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Sahur Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini awal hari ini.

Pada program itu, Reezal Merican yang juga anggota Parlimen Kepala Batas bersama rombongan UMNO bahagian berkenaan berkonvoi menghantar makanan untuk bersahur di 13 balai polis di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, yang turut disertai Ketua Polis Daerah SPU Abdul Rahman Ibrahim.

Beliau berkata sepanjang kerjasama politik Pakatan Rakyat, DAP tetap bersikap angkuh dan ia seterusnya mengundang persepsi parti itu tidak menghormati rakannya dalam Pakatan Rakyat serta membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata sebagai contoh tindakan DAP yang menarik balik keistimewaan yang dinikmati anggota PAS di dalam pentadbiran kerajaan negerinya dan ia jelas dilihat satu sikap angkuh yang sekali gus membelakangkan semangat Pakatan Rakyat.

“PAS tidak diberi pengktirafan walaupun menang satu kerusi, malahan hari ini tidak berada dalam Pakatan Rakyat, malah ditarik kesemua keistimewaan. Ini menunjukkan keangkuhan yang ditonjolkan oleh DAP dan itu adalah perlembangan parti yang diwujudkan atas dasar yang tidak kukuh dan rapuh,” katanya.

Reezal berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang membatalkan hubungan tahalul siyasi dengan DAP.

Majlis Syura PAS semalam mengumumkan secara rasmi pihaknya mengekalkan keputusan muktamar parti itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP setelah hubungan mereka dilanda gelora selama sebulan, hingga menggugat kedudukan Pakatan Rakyat.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment