Wednesday, July 08, 2015

Mahathir Tak Mengaku Malukan Negara Bila Fitnah Perdana Menteri

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil menafikan beliau merupakan individu yang telah memalukan negara melalui wawancara bersama akhbar luar Negara, The New York Times.

Menurut Mahathir. individu yang sepatutnya malu apabila media luar memburukkan negara adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan dirinya.

Tambahnya, amat memalukan apabila akhbar terbabit menyiarkan rencana yang begitu panjang mengkritik pentadbiran negara dan gaya hidup Najib.

"Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Najib dengan 1MDBnya. Sebelum ini negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang.

"Media barat dan akhbar terkemuka di Amerika dan London pernah menyiarkan rencana panjang sehingga empat muka berkenaan skandal 1MDB, Najib dengan cara hidup mewahnya, Lho Low sahabat karibnya dan Riza Aziz, anak tirinya yang membiayai filem lucah "The Wolf of Wall Street"," kata Mahathir menerusi laman blog miliknya.

Menurut Mahathir, Datuk Seri Anifah Aman sebagai Menteri Luar sepatutnya malu dengan tuduhan akhbar luar terbabit yang mendakwa Malaysia adalah satu dari sepuluh negara yang mempunyai tahap rasuah yang tertinggi di dunia.

Mahathir berkata, sepatutnya Anifah berasa malu dengan tuduhan yang dilemparkan itu dan mendesak Najib untuk menjawab kesemua tuduhan yang dilemparkan, tetapi Anifah memilih jalan untuk mendiamkan diri.

"Tetapi Anifah tidak berasa malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya.

"Jika Anifah tahu malu, di waktu akhbar-akhbar ini buat laporan, dia sepatutnya sudah berasa malu. Dia sepatutnya menyoal Najib akan skandal berkenaan dan laporan akhbar asing," katanya.

Justeru itu, Mahathir memberi cadangan kepada Anifah untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan kepada perdana menteri itu dengan mengatakan Anifah perlu menasihati Najib supaya memutuskan persahabatan dengan Jho Low dan mengawal sikap anak tirinya.

"Dia sepatutnya menasihat Najib supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya," katanya.

Jelas Mahathir, jika skandal seperti ini berlaku di negara lain, pemimpin terbabit akan meletak jawatan dan memohon maaf, tetapi di Malaysia, semua pemimpin sibuk menjaga jawatan masing-masing.

"Di negara lain, skandal seperti ini yang melibatkan seseorang pemimpin, dia tetap akan letak jawatan dan pohon maaf. Tetapi di Malaysia ada orang yang mempertahankan pemimpin tanpa sebab, hanya kerana keselamatan jawatan," jelasnya.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment