Wednesday, July 08, 2015

Umat Islam Harus Bersatu Lawan Fitnah Jatuhkan Ulul Amri

Serangan demi serangan oleh media barat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat bukan sahaja ditujukan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah terhadap seluruh umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, berhubung perkara tersebut, semua masyarakat Islam tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu padu bagi menyingkir segala fitnah terancang dan tidak berasas itu semata-mata untuk mengucar-ngacirkan keamanan negara.

"Kalau mereka hendak melemahkan umat Islam di negara ini, mereka mesti melemahkan UMNO memandangkan parti itu mempunyai 89 kerusi Parlimen berbanding Pas hanya 21 kerusi."

"Sekarang mereka menggunakan media luar untuk menyerang dan situasi ini terserah kepada kita untuk berada di sebelah pihak mana, mungkin ada yang rasa gembira tetapi kita kena ingat dalam jangka masa panjang bagaimana Arab Spring menyebabkan negara-negara terbabit lumpuh dan tidak stabil sehingga ke hari ini," katanya selepas majlis sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau peringkat daerah di Temerloh, semalam.

Menurutnya, serangan bertalu-talu terhadap Perdana Menteri itu disifatkan sebagai perancangan rapi oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda besar untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin Islam sebagaimana yang berlaku di beberapa negara Arab.

Tambah beliau, umat Islam hari ini seharusnya memahami realiti sebenar dan bersatu demi mempertahankan negara daripada terjebak ke dalam perangkap mereka yang akan membawa negara ke kancah pergolakan.

"Di Malaysia, mereka mendapati antara cara untuk menjatuhkan pemimpin kita adalah dengan membuat serangan peribadi selepas pelbagai serangan dalam peringkat negara tidak berjaya," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Shakar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, UMNO negeri sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan padu kepada Najib selaku Presiden dalam berhadapan pelbagai serangan yang diterimanya ketika ini.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment