Friday, July 24, 2015
"Orang Bodoh, Miskin, Bangsat Tak Merajuk" - Hadi
PETALING JAYA : Ketika PAS berhadapan perpecahan dalaman, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang memuji sikap ahli parti Islam itu yang terus setia
dalam perjuangan tanpa mengharapkan pangkat, jawatan atau kedudukan.
Menurut Presiden PAS itu, ahli dan penyokong parti itu, termasuk di
kalangan yang dianggap bodoh, miskin mahupun bangsat sentiasa dipelihara
Allah kerana ikhlas meneruskan perjuangan Islam.
"Kumpulan yang ikhlas bersama (gerakan Islam) daripada semua peringkat
dan lapangan, mereka bukan sahaja berhubung dengan manusia, bahkan
dengan Allah siang dan malam, termasuk yang dianggap bodoh tetapi tidak
lupakan Allah siang dan malam, yang kaya menyumbang harta dan yang alim
serta bijak menyumbang ilmu serta kemahiran.
"Bagi yang miskin dan bangsat kerana dipandang hina kebanyakan umum
pula, mereka turut menyumbangkan doa serta tenaga dengan ikhlas tanpa
terlibat dengan pertandingan pemimpin atau meminta menjadi calon dan
jawatan.
"Kesemua mereka tetap dengan pendirian walaupun tidak dipilih dalam
mesyuarat agong atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam piliharaya
dan tidak mendapat projek dan balak, tetapi tidak merajuk dan terus
beristiqamah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan kumpulan yang
menjadikan PAS sebagai platform untuk meraih jawatan dan pangkat adalah
'pelakon' yang akan tenggelam mengikut kehendak Allah.
"Sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti
berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jemaah.
"Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga," katanya.
Sebelum ini, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Abdul Samad
mengesahkan semua pemimpin PAS yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baru
(GHB) akan meninggalkan parti itu secara automatik apabila sebuah parti
politik baharu ditubuhkan secara rasmi pada 14 September ini.
GHB yang dilancarkan pada 13 Julai lalu diketuai bekas Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu dan turut dianggotai pemimpin progresif parti itu
yang tewas pada pemilihan Jun lalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment