Friday, July 24, 2015
Sarawak Report Ada Rancang Burukkan Kerajaan
23 Julai 2015, Sepang : Bekas Pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi
mendakwa pengasas portal berita Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown
dan pihak pembangkang merancang untuk memburuk-burukkan kerajaan sejak
beberapa tahun dahulu.
Beliau juga berkata, akan mendedahkan lagi nama ahli politik pembangkang
yang terlibat dalam video yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Dalam satu temu bual dengan Bernama di sini, Melanyi mendakwa
Rewcastle-Brown memberitahunya rancangan berkenaan selepas pertemuan
wanita itu dengan beberapa ahli politik pembangkang di Singapura pada
2012.
"Saya selalu diberitahu Claire (mengenai perkara yang dibincangkan).
Secara umumnya mereka berbincang cara bagaimana untuk memburukkan
kerajaan dan mengubah suai dokumen.
"Rancangan ini tidak dibuat semalam. Ia telah dirancang dengan baik
sejak beberapa tahun. Sejak awal 2012, atau lebih awal," katanya sambil
menambah isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah salah satu isu
yang menjadi sasaran mereka.
Melanyi muncul di dalam video klip di laman YouTube yang mendakwa
Rewcastle-Brown dan beberapa ahli politik pembangkang memalsukan dokumen
berkaitan 1MDB.
Beliau berkata, video yang akan muncul adalah lebih menggemparkan dan lebih ramai personaliti yang terlibat akan dinamakan.
"Ia akan lebih menggemparkan. Keraguan akan dilenyapkan," katanya.
Klip video itu sebenarnya adalah daripada satu video asal yang diasingkan kepada beberapa bahagian.
Bahagian pertama telah dikeluarkan pada 15 Julai, dan yang kedua Isnin
lepas. Bahagian ketiga dijangka dikeluarkan hujung minggu ini, kata
Melanyi.
Ditanya mengapa baharu sekarang beliau mendedahkan plot itu, Melanyi berkata, beliau tidak mempunyai cukup maklumat pada 2012.
Pada Selasa, Bernama melaporkan pegawai polis dari Bukit Aman telah
merakamkan percakapan Melanyi mengenai kandungan video itu pada 17 dan
18 Julai lepas di Kuching.
Melanyi berkata, beliau memberitahu polis perkara sama seperti yang beliau katakan di dalam video itu.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment