Wednesday, July 08, 2015
Pemimpin PAS Kelantan Selar DAP Buat-Buat Tak Faham Hudud
DAP diselar kerana sengaja buat-buat tidak faham mengenai pelaksanaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) oleh kerajaan negeri
Kelantan pimpinan PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan
Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata bukan
Islam sepatutnya bersetuju dengan pelaksanaan hudud kerana ia tidak
membabitkan mereka dan hukuman hanya dikenakan terhadap orang Islam
sahaja.
"Sepatutnya tak timbul dia (DAP bantah) sebab kita pinda mengikut
kehendak dia (undang-undang tidak terpakai kepada bukan Islam),
sepatutnya dialah yang paling setuju.
"Alih-alih dia pula yang lawan. Jadi bukan mereka tak faham, (tapi)
mereka buat-buat tak faham," katanya pada Majlis Dialog dan Berbuka
Puasa Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Pengamal Media Selasa.
Persidangan Dewan Rakyat yang berakhir 18 Jun lalu masih belum
membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pelaksanaan hudud di
Kelantan kerana memberi laluan kepada agenda dan urusan kerajaan lain.
Mohd Nassuruddin berkata, dalam rundingan yang dilakukan bersama DAP dan
PKR sebelum ini, PAS sudahpun menyatakan hasrat parti untuk
memperkasakan syariat Islam sebagaimana yang termaktub di dalam
Perlembagaan negara.
"Dalam Perlembagaan negara disebut dalam Perkara 3 iaitu Islam bagi
agama Persekutuan, manakala agama-agama lain bebas diamalkan.
(Selain itu) Perkara 11 juga sebut setiap orang berhak mengamalkan kepercayaan masing-masing.
"Hudud ini kepercayaan agama Islam dan jelas disebut dalam al-Quran
(termasuk hukuman yang perlu dikenakan kepada pesalah)," katanya.
Katanya PAS, sentiasa terbuka dalam membincangkan perkara ini dan
sentiasa memberi penjelasan lanjut kepada mana-mana pihak yang mahukan
pencerahan berhubung hukum hudud berkenaan.
"Jadi saya pun tak faham kenapa mereka tak faham, saya pun tak reti
kenapa mereka tak reti. Tapi saya reti kenapa mereka buat tak reti. Kita
terbuka dan memang sentiasa beri penjelasan, ...bukan kita tak bagi,"
katanya.
RUU itu dicadangkan susulan keputusan Dewan Undangan Negeri Kelantan
yang sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II Enakmen 1993
(Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas bagi pelaksanaan hudud di negeri itu.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment