Monday, July 13, 2015

Pemuda UMNO Anjur Golf Amal ‘HELP Tuisyen’ Kumpul Dana Bantu 10,000 Pelajar

13 Julai 2015, Kuala Lumpur : Pemuda UMNO Malaysia melalui Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) bersama Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCG) akan menganjurkan Pertandingan Golf Amal ‘Help Tuisyen’ bagi mengumpul dana program tuisyen percuma kepada hampir 10,000 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun ini, kata Pengerusi Biro, Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan penganjuran Golf Amal ini mendapat sokongan daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan dan seterusnya mampu mengumpul dana bagi membiayai program yang memasuki tahun kedua ini.
Kuala Lumpur, 13 Julai--Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media berkaitan penganjuran Pertandingan Golf Amal 'HELP Tuisyen' anjuran Biro HELP Pemuda UMNO dan TSM Charity Golf Foundation di PWTC pagi. Pertandingan Golf Amal tersebut akan berlangsung pada 9 Ogos 2015 di Glenmarie Golf and Coutry Club, Shah Alam dan dijangka melibatkan 120 orang peserta. Turut bersama dalam sidang media Setiausaha TSM Golf Charity Foundation, Datuk Abdul Rashid Asari (dua dari kiri). - Foto : MediaUMNO
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media program berkenaan yang akan diadakan pada 9 Ogos 2015 di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Biro, Faizal Sufar dan wakil pengurusan TSMCG, Datuk Abdul Rashid Asari.

“Pada tahun lalu, kita telah berjaya mengadakan program tuisyen ini dengan membantu seramai 4,400 pelajar SPM, yang kumpulan sasaran kita adalah yang kurang berkemampuan ataupun yang kita panggil miskin bandar dan luar bandar.

“Berdasarkan laporan dan maklum balas daripada pengetua dan daripada keputusan SPM, kita tengok program ini mendapat sambutan yang sangat baik, dapat bantu anak-anak muda melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Permintaan daripada ibubapa dan guru-guru, tahun ini kita perluaskan penyertaan kepada 10,000 pelajar yang akan bakal mendapat manfaat ‘HELP Tuisyen’ bagi tahun 2015 ini,” ujarnya.

Jelas beliau lagi bagi tahun 2015, program tuisyen percuma yang mendapat kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) ini diperluaskan kepada 100 buah kawasan Parlimen, telah bermula sejak 1 Jun lalu dan akan berterusan sehinggalah kepada peperiksaan SPM, katanya lagi.

Justeru itu,bagi tujuan tersebut, HELP memerlukan dana sebanyak RM6 juta dan penyumbang utama iaitu pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah bersetuju membantu dengan memberi sumbangan sebanyak RM2 juta manakala baki melalui Golf Amal, tambahnya.

“Yakin dengan penganjuran Golf Amal ini dan komitmen Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang bersetuju untuk turut hadir, InsyaAllah akan dapat membantu menampung kos program tersebut.

“Kami daripada pihak Biro dan pihak TSMCG ini ingin mewar-warkan kepada syarikat-syarikat GLC, Konglomerat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) ataupun individu perseorangan agar dapat bersama-sama kami, terlibat dalam Golf Amal dan sama-sama menyumbang menjayakan program HELP Tuisyen 2015,” kata Exco Pemuda UMNO Malaysia itu.

Menurut beliau lagi, pihak penganjur menyasarkan penyertaan sebanyak 30 flite dan penyumbang yang tertinggi akan diberi peluang bermain dalam pasukan yang sama dengan Timbalan Perdana Menteri serta setiap penyumbang akan menerima pengecualian cukai.

Syarikat-syarikat dan individu yang berminat untuk bersama-sama memberi sumbangan melalui Golf Amal ini boleh menghubungi pihak sekretariat di talian 03-7803 4432 atau Ros (019-926 5438) atau Athirah (017-603 1850).

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada pihak TSMCG yang diketuai oleh Datuk Abdul Rashid bersama kumpulan pengurusannya yang bukan sahaja bersetuju bersama menganjurkan pertandingan Golf Amal malah telah memberi komitmen bagi memastikan program ini mencapai objektif yang disasarkan.

Tumpuan HELP Tuisyen adalah kepada pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, yang mempunyai tahap pencapaian semasa yang sederhana dan sekiranya diberi peluang pendidikan tambahan melalui usaha ini mampu memberikan mereka keputusan yang lebih baik.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment