Sunday, July 26, 2015
Sikap Pemurah Tak Bertempat... Bila Amalkan Mereka Ini Bertambah Lagi
Orang kita terkenal pemurah dan cepat simpati. Tidak kira puasa, musim
raya atau bulan-bulan lain, hati kita mudah kesian apabila melihat orang
menadah tangan meminta sedekah.
Lebih tersentuh perasaan kita sekiranya yang meminta sedekah itu
memangku atau menggendong seorang bayi. Dan langsung tidak kedekut kita
apabila yang meminta sedekah itu ialah kanak-kanak bawah umur.
Pada kita apalah RM1, hendak beli nasi lemak pun tidak cukup. Tetapi
bagi si pengemis, yang RM1 itu boleh terus diraih dan dikumpul.
Bayangkan sekiranya setiap hari seratus orang memberi hanya RM1,
pengemis berkenaan akan mendapat RM100 sehari. Itu bererti RM900
sebulan, lebih daripada gaji minimum pekerja biasa.
Tidak payah buat kerja berat, hanya duduk bawah jejantas, atau bersandar
di kaki lima pun boleh dapat RM900 – mungkin lebih – sebulan. Orang
kita memang pemurah.
TIDAK disedari sikap pemurah kita telah diambil kesempatan oleh
sesetengah pihak yang lebih cerdik. Seperti yang diakui ramai ada
sindiket yang mendalangi kegiatan mengemis dan memungut derma yang
semakin berleluasa sekarang.
Pihak sindiket mengarahkan wanita, termasuk pendatang asing, dan
kanak-kanak mengemis di tempat-tempat awam seperti masjid, tempat letak
kereta, stesen bas, R&R di lebuh raya dan medan selera.
Ada juga sindiket menggunakan kanak-kanak dan remaja – kononnya dari
sekolah agama, madrasah dan rumah anak yatim – untuk mengutip derma.
Konon duit derma akan digunakan untuk sekolah dan rumah anak yatim.
Ada yang bertanya, mengapa murid-murid sekolah dan anak yatim digunakan
untuk memungut derma, tidakkah ini satu penderaan? Ada juga yang
menyiasat dengan menelefon nombor yang diberi oleh pemungut derma
(ternyata nombor palsu).
Tetapi lebih ramai yang tidak bertanya apa-apa, juga tidak menyiasat,
sebaliknya terus menghulurkan derma atas alasan ‘apalah RM1’...
Orang kita memang pemurah. Kerap pula pemurah itu tidak bertempat!
BIASA juga kita temui saudara baru @ mualaf, berketayap dan bersila di
atas tikar di surau R&R. Di hadapannya ada kotak untuk mengutip wang
dari jemaah yang singgah bersolat.
Dengan wajah selamba, dia berjaya meraih simpati ramai jemaah. Tidak salah menghulurkan seringgit dua kepadanya.
Dalam pada itu selalu saya bertanya dalam hati, mengapa pihak berwajib
membiarkan saudara baru ini meminta sedekah? Apakah ini imej yang hendak
digambarkan kepada orang yang masuk Islam.
Tetapi, orang kita tidak ambil pot semua itu. Bagi mereka ada orang
memerlukan bantuan, dan kita yang mampu perlu membantu seikhlas mungkin,
tanpa banyak soal. Orang kita memang pemurah!
SIKAP pemurah tidak bertempat ini mungkin penyebab semakin ramai
pengemis di tempat kita, dan makin ramai orang memungut macam-macam
derma di R&R dan di kawasan masjid setiap hari Jumaat.
Jakim kata orang tidak boleh memungut derma sesuka hati, ada peraturan.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha kutipan derma juga
tidak boleh dilakukan oleh orang perseorangan sebaliknya kebenaran hanya
diberi kepada wakil yang dilantik dari mana-mana institusi atau
organisasi.
Mengenai pengemis, beliau berkata: “Kita tidak mahu orang luar melihat Islam adalah agama mengemis dan meminta-minta.”
Dalam nada yang sama Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui ada sindiket mengambil
kesempatan atas sikap pemurah masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mengingatkan
orang ramai supaya memeriksa dahulu latar belakang pengutip derma yang
menggunakan nama-nama madrasah yang diwakili bagi tujuan bersedekah.
Pendek kata, jangan menderma dan memberi sedekah tanpa usul periksa,
takut-takut derma dan sedekah kita masuk ke kantung orang lain.
AKHIR kalam, Datuk Seri Hassan Malek berkata pihaknya telah menggempur
premis-premis di kawasan segi tiga emas di KL, termasuk Plaza GM, Chow
Kit, Plaza Kota Raya, Plaza Low Yat dan Plaza Pudu, bagi mengesan
penjualan barang tiruan. Hasil serbuan, banyak yang palsu terbongkar.
Selain telefon bimbit, ada banyak lagi jenama-jenama terkenal telah
dipalsukan.
Tidak kira di desa, lebih-lebih lagi di kota, hidup kita memang penuh kepalsuan..
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment