Sunday, July 12, 2015
Tahaluf Siyasi Pas-DAP Sah Terputus
Pas dan DAP akhirnya ‘sah bercerai’ selepas
Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan hubungan tahaluf siyasi
atau kerjasama politik yang terjalin dengan sekutunya itu di dalam
pakatan pembangkang sejak 2008.
Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
berkata, keputusan tersebut berikutan tindakan DAP yang melakukan
provokasi berterusan, perbuatan parti itu yang melanggar semangat
kerjasama pakatan pembangkang serta campur tangan dalam akidah, dasar
dan matlamat Pas.
Katanya, tahaluf siyasi dengan PKR bagaimanapun masih diteruskan dan
keputusan itu diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk
dilaksanakan mengikut kesesuaian politik semasa.
“Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan semua kaum.
“Oleh itu, Pas meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi
tahaluf siyasi bersama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
bukan Islam, dalam masa sama, Pas tetap teguh berpegang dengan
dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak,” katanya dalam
kenyataan disiarkan laman web Pas hari ini.
Dewan Ulama Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-61 bulan lalu telah
membawa usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP yang
diluluskan tanpa bahas, namun keputusan akhir terletak sepenuhnya kepada
mesyuarat Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sebelum ini menegaskan, tahaluf
siyasi Pas dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang bukanlah
bersifat kekal selama-lamanya selain menasihatkan semua ahli Pas agar
patuh kepada setiap keputusan yang dibuat badan tertinggi parti itu.
Hubungan antara Pas dan DAP yang retak sejak penubuhan pakatan
pembangkang semakin meruncing apabila Setiausaha Agung DAP yang belum
disahkan jawatan, Lim Guan Eng pada Mac lalu menegaskan parti itu
memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang didakwa tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan Pas bertegas
mahu melaksanakan hudud di Kelantan.
Sementara itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mula mengambil langkah
drastik menghukum ahli Pas apabila memecat Setiausaha Pas negeri, Mohd.
Fadzil Kemi daripada jawatan Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua
Menteri Pulau Pinang.
Tindakan itu juga dilihat sebagai tekanan berterusan DAP terhadap Pas
selepas desakan Guan Eng supaya Pas mengarahkan ahli-ahlinya di Pulau
Pinang meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri tidak diendahkan.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment