Sunday, July 12, 2015
Tiga Pegawai Kanan Bank Negara Malaysia Disiasat?
Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra
Kamarudin mendakwa, tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia (BNM) kini
sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit
kepada Wall Street Journal (WSJ).
Beliau berkata, laporan telah dibuat terhadap mereka dan kemungkinan
besar pegawai kanan terbabit akan menerima nasib yang sama seperti bekas
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid pada 1999.
Raja Petra memberitahu, perbuatan membocorkan maklumat sulit kepada
WSJ itu adalah lebih serius daripada skandal yang melibatkan Abdul
Murad.
“Pihak berkuasa dipercayai sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga pegawai kanan berkenaan cuba mengkhianati kerajaan.
“Perbuatan yang dianggap sebagai sabotaj terhadap kerajaan itu boleh
mendatangkan kesan yang buruk kepada negara,” katanya melalui entri
bertajuk ‘The Bank Negara Scandal, Yet Again’ hari ini.
WSJ baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah
mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam apa yang mereka
percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Sementara itu, pelbagai pihak meminta pihak berkuasa termasuk BNM
segera menjalankan siasatan berhubung pendedahan Raja Petra itu.
Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun
Khairuddin berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mencemar integriti BNM
sebagai pihak berkuasa yang mengawal operasi kesemua bank di negara ini
malah turut menjatuhkan imej institusi kewangan negara yang selama ini
bersih.
“Jika dakwaan itu benar, ini secara jelas telah melanggar Akta Bank
dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang menjamin kerahsiaan setiap
maklumat sulit perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini
hari ini.
Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis),
Ramlan Abu Bakar meminta BNM menggantung tugas ketiga-tiga pegawai
kanan berkenaan bagi memastikan siasatan dalaman dapat dijalankan dengan
telus.
“Saya harap mereka digantung tugas sehingga siasatan selesai dan jika
didapati bersalah hukuman setimpal perlu dikenakan kerana perbuatan itu
sangat berbahaya,” katanya.
Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop
pula menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap
kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada individu-individu berkenaan.
“Mereka adalah pemimpin kanan BNM tetapi sanggup membocorkan maklumat
rahsia kepada media antarabangsa menyebabkan isu ini diputar-belit
pihak tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan
Khairul Ihsan Wan Muhammad berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) turut tampil melakukan siasatan.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment