Monday, July 13, 2015
Wajarlah PAS Jatuhkan Talak Ke Atas DAP
Pada 24 Ramadan 1436, Majlis Syura Ulama PAS mengemukakan dua alasan
yang amat munasabah dan wajar mengapa ia menjatuhkan talak ke atas DAP
dan sekaligus melupuskan tahaluf siasi dengan parti dominan Cina itu.
Pertama, Majlis berkenaan kecewa dengan sikap DAP yang tidak henti-henti
menyerang PAS hingga ke peringkat terlalu kasar dan berbaur sikap
menghina berbanding dengan serangannya terhadap musuh-musuh politik
lainnya seperti MCA dan MIC.
Kedua, dan yang lebih serius ialah, Majlis Syura berkenaan menilai ada
beberapa gelagat politik DAP dilihat jelas cuba “mempertikaikan”
pegangan agama atau akidah perjuangan PAS.
“Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan
dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama
Pakatan Rakyat,” kata Majlis Syura berkenaan dalam satu kenyataan.
Kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Majlis itu, Datuk Dr Nik
Muhammad Zawawi Salleh, berkata, yang lebih mendesak keputusan itu
didorong oleh “campur tangan DAP dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS”.
Memang umum tahu bahawa mutakhir ini pemimpin-pemimpin DAP tidak
putus-putus menyerang PAS dengan menggunakan alasan moral seperti PAS
kononnya melanggar rangka persefahaman bersama Pakatan Rakyat.
Namun paling ketara ialah kecaman dan sindiran itu ditujukan terus
kepada peribadi presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang
dirumuskan DAP sebagai ‘tidak layak memimpin sebuah pergerakan Islam’.
Hadi sering dituduh membelakangi rangka persefahaman bersama yang
menjadi rukun Pakatan Rakyat kerana kerap menggunakan kuasa veto untuk
menolak keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat meskipun beliau tidak
hadir mesyuarat.
Malah DAP cuba mengukuhkan hujahnya dengan mengatakan Hadi juga beberapa
melanggar adab pimpinan PAS sendiri dengan mengabaikan keputusan
bersama wakil-wakil PAS dalam mesyuarat tertinggi dengan wakil komponen
lain Pakatan Rakyat.
Itu pandangan DAP. Bagaimanapun yang perlu diingat ialah inti adab
Pakatan Rakyat ialah, setiap keputusan berhubung halatuju dan
perjuangannya mestilah mendapat persetujuan bersama atau consensus
sebelum ia boleh dilaksanakan.
Lantas bagaimana pula PAS, khususnya Hadi, perlu dan mahu menyokong
keputusan-keputusan yang dibuat secara bersendirian oleh parti-parti
komponen pakatan itu?
Beliau cuba menerangkan bahawa tindakan DAP membentang dan meluluskan
usul mengadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan tidak mendapat
sokongan PAS sejak mula lagi.
Bagaimanapun DAP yang menguasai Pulau Pinang tanpa berunding dengan PKR
dan PAS bertindak sendirian membentang dan meluluskan usul berkenaan di
Dewan Undangan Negeri.
Begitu juga dengan tindakan unilateral PKR. Pakar strateginya, Rafizi
Ramli dengan bangga mendabik dada beliau telah mencernakan strategi
ampuh yang diberi nama ‘Langkah Kajang’ untuk melonjakkan peluang
Pakatan itu menawan Putrajaya.
Namun PAS mempunyai pandangan berbeza. Yang diyakininya ialah langkah
itu adalah untuk memaksa Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dan digantikan oleh Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di segi moral dan teknikalnya PAS percaya pendekatan sengaja
mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan memaksa menteri besar yang
berprestasi tinggi meletak jawatan bukan adab yang baik.
Namun walapun protes PAS akan jelas dan munasabah, PKR terus juga
melaksanakan Langkah Kajang tanpa sedikitpun mengambil sentimen PAS
berhubung isu itu.
PAS menganggap baik Pulau Pinang mahupun Selangor, adalah dua negeri di
bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. PAS juga istiqamah berpegang pada
konsep konsensus atau persetujuan bersama. Malangnya, DAP dan PKR tidak
ambil peduli pandangan PAS.
Sebaliknya, usaha PAS mahu meminda Enakmen syariah Kelantan bagi memberi
ruang luas sedikit pada pengurusan dan pelaksanaan undang-undang Islam
ditohmah oleh DAP sebagai melanggar konsep konsensus Pakatan Rakyat!
Walhal baik DAP mahupun PKR maklum PAS tidak pernah bersetuju
menggugurkan matlamat perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Islam
baik sebelum mahupun sesudah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat pada
2008.
Apa yang mahu dilakukan PAS ialah melanjutkan usaha yang sudah dimulakan
sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. Malah DAP sendiri sudah
memperakui hak PAS itu dalam perjanjian yang ditangani pemimpin
kedua-dua parti sebelum Pilihanraya Umum 2013.
Bagaimanapun seolah-olah mahu mencari sebab memperlekeh PAS, soal tidak
ikut konsensus Pakatan itu semuanya dipalitkan kepada PAS, khususnya
presidennya, Haji Abdul Hadi.
Apabila menghidu ada semacam keretakan dalam pimpinan PAS yang
menyaksikan persaingan ulama-profesional merebut dalam parti itu, DAP
cuba campurtangan dan berkempen untuk puak profesional PAS seraya
meremehkan wibawa ulama PAS pula.
Akidah perjuangan PAS ialah Islam. Lantas pelaksanaan dan tanggungjawab
mempertahankan kewibawaan hukum Islam adalah terletak di bahu PAS.
Malangnya, DAP bersikap tidak sensitif dalam soal ini.
Pemimpin-pemimpin DAP secara sedar dan dengan penuh nafsu mempertikaikan
hukum Islam seperti hudud, aurat dan kegiatan lagha seperti konsert
hiburan liar dan secara langsung melanggar hak perjuangan PAS.
Tanpa berselindung DAP memutuskan hubungan politik dengan presiden PAS,
Haji Hadi.
Dan, ketika persiapan sibuk dibuat menghadapi pilihanraya
negeri Sarawak, DAP dengan sewenang-wenangnya memutuskan pula hubungan
dengan PAS Sarawak.
Maka memang wajarlah bagi Majlis Syura Ulama PAS memutuskan tahaluf
siasi dengan DAP yang memulakan sengketa dan rasa menyemai curiga umum
terhadap keikhlasan PAS.
Belum PAS sempat memutuskan usul Dewan Ulamanya supaya dibatalkan
tahaluf siasi dengan DAP, parti dominasi Cina sudah memecat wakil-wakil
PAS dalam kerajaan Pulau Pinang yang dikuasainya.
Tahaluf atau kerjasama PAS dengan DAP sudah terbatal. Semoga tidak ada
pihak dalam PAS yang masih terus meratapi talak yang dijatuhkan oleh
Majlis Syura Ulama PAS demi memelihara maruah perjuangan PAS itu.
Kini terserah pada PKR, terutama menteri besar Selangor, Azmin Ali mahu
menghormati tahaluf siasi yang masih mahu dijalin PAS dengan parti itu.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment