Monday, August 31, 2015

Kehadiran Dr. Mahathir Di Perhimpunan Bersih Mengecewakan – Ismail Sabri

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur semalam sebagai mengecewakan dan dikesali.
Ini kerana, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, Dr Mahathir merupakan individu yang paling lantang menentang demonstrasi jalanan terutama ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan berlaku demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan reformasi.
Katanya bekas perdana menteri itu menganggap kumpulan melakukan demonstrasi jalanan adalah jahat.
“Kehadiran Mahathir pada perhimpunan Bersih 4 semalam sangat mengejutkan dan mengecewakan.
“Akhirnya Tun (Dr Mahathir) sendiri dahulunya penentang kuat kepada demonstrasi jalanan akhirnya dia sendiri terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Beluran di sini, hari ini.
Ismail Sabri menegaskan, sebagai anggota UMNO, Dr Mahathir sepatutnya menghormati parti itu.
Katanya, alasan bahawa beliau bersama rakyat untuk hadir di perhimpunan Bersih 4 tidak boleh diterima sedangkan UMNO mempunyai 3.7 juta ahli yang boleh beliau wakili.
“Jumlah orang ramai yang hadir di perhimpunan Bersih 4 tidak boleh dianggap mewakili suara majoriti rakyat,” katanya.
Beliau berkata sebagai anggota UMNO, Dr Mahathir perlu jelas bahawa perhimpunan Bersih 4 didokong pemimpin parti pembangkang dan beliau sepatutnya mempertahankan kerajaan dan bukannya bersama-sama dengan kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi menerusi perhimpunan haram.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment